GEORGE TOWN : Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa, keputusan DAP kekal dalam Kerajaan Perpaduan sudah dijangka kerana agak sukar bagi mana-mana parti politik yang sudah ‘menikmati’ kuasa untuk melepaskannya begitu sahaja.
Tambahan pula, kata Rafizi, DAP kini mempunyai ramai wakil dalam pelbagai kedudukan sama ada sebagai menteri, timbalan menteri, ketua menteri, exco, wakil rakyat dan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Jadi, apa yang membuat kamu fikir dengan mudah bahawa mereka yang mengundi (dalam persidangan DAP) akan berkata: ‘Jomlah, kita rasa sudah tidak serasi dengan parti ini. Maka, kita kena keluar dan memegang prinsip kita untuk tidak akan menjadi kerajaan’,” katanya ketika berucap pada program Jelajah parti Bersama di sini, malam ini.
Dalam pada itu, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR turut mengulas mengenai perkembangan dalam parti itu dengan menyifatkan PKR kini lebih banyak mengulangi naratif perjuangan masa lalu ketika berdepan masalah serta kritikan daripada rakyat.
Dakwa Rafizi lagi, kecenderungan mengimbau nostalgia perjuangan lampau itu turut berlaku dalam DAP apabila parti tersebut kini berdepan persoalan mengenai hala tuju politik mereka.
Katanya, dalam hal ini, parti berkenaan dilihat kerap menggunakan pengalaman lalu untuk meyakinkan ahli serta penyokong bahawa meninggalkan kerajaan akan menyebabkan mereka kembali menjadi pembangkang serta kehilangan kedudukan yang ‘dinikmati’ ketika ini.
Sementara itu, Rafizi berkata, Bersama bukan Kuda Trojan atau ejen kepada mana-mana parti politik lain termasuk Barisan Nasional (BN) dan Pas untuk melemahkan Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, BN dan Pas tidak memerlukan ejen untuk menewaskan PH buat masa ini kerana mereka hanya memerlukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbuat demikian.
“Saya juga melihat bahawa politik negara kini terlalu banyak berkisar kepada isu yang sama termasuk perkauman sedangkan parti-parti politik itu sendiri gagal memberi tumpuan kepada masalah sebenar yang dihadapi oleh rakyat dalam kehidupan seharian.
“Sebagai contoh, apabila kita tengok kepada PH sama ada PKR atau DAP, mereka tak cerita pun pasal masalah yang dihadapi oleh orang biasa. Orang biasa ini masalah dia masalah hidup, masalah kesihatan, masalah kos orang tua nak pergi hospital, macam-macam,” katanya.-UTUSAN
