hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kajang: Remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu selepas keluar dari rumahnya di Taman Jasmin di sini, ditemui dalam keadaan selamat, hari ini.
Farzanah Nabila Abdullah ditemui anggota polis di Jade Hills, di sini sebelum dimaklumkan kepada ibunya, Rabiatul Adawiyah Rosli, 34.
Rabiatul Adawiyah berkata, dia dihubungi polis yang memaklumkan penemuan anak sulungnya itu pada 8 pagi tadi.
“Alhamdulillah, saya terima panggilan daripada polis memaklumkan anak saya, Farzanah Nabila sudah ditemui dalam keadaan selamat.
“Saya sudah jumpa anak kira-kira 11 pagi tadi. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang secara langsung atau tidak langsung membantu termasuk mendoakan sehingga anak ditemui,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, Rabiatul Adawiyah berharap Farzanah Nabila yang hilang selepas dipercayai keluar dari rumah mereka sejak Khamis lalu dapat ditemui segera.
Polis juga sebelum itu dalam hebahannya meminta bantuan orang ramai dalam usaha mengesan remaja berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




