mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memandang serius situasi jerebu yang melanda negara sejak 8 Ogos lalu membabitkan Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan bersiap siaga menghadapinya.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, keadaan itu berpunca daripada fenomena El Nino yang semakin menguat dan berlaku serentak dengan Monsun Barat Daya.
Katanya, keadaan berkenaan menyebabkan kebanyakan kawasan mengalami pengurangan taburan hujan serta cuaca lebih panas dan kering.
“Bagaimanapun, keadaan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah beransur baik pada masa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, setakat jam 12 tengah hari, tiga kawasan di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan dan IPD Serian serta satu kawasan di Semenanjung Malaysia iaitu Johan Setia merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.
“Selebihnya merekodkan bacaan IPU sederhana,” katanya.
“Maklumat awal dan persediaan negara menghadapi fenomena El Nino serta Monsun Barat Daya sudah dimulakan sejak Jun lalu menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan Bil. 1/2026 pada 15 Jun di NRES, Putrajaya,” katanya.
Katanya, semua pihak termasuk kerajaan negeri sudah dimaklumkan berhubung implikasi El Nino terhadap sektor pertanian, penyusutan paras air empangan, peningkatan risiko pembakaran terbuka dan jerebu.
“Semua pihak akan melaksanakan tindakan selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) dan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK),” katanya.
Dalam pada itu, Arthur berkata, beliau mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Mesyuarat Ke-27 Ministerial Steering Committee (MSC) dan Technical Working Group (TWG) mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan pada 8 dan 9 Julai lalu di Bali, Indonesia.
“Mesyuarat itu membabitkan enam negara di selatan rantau ASEAN iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Timor-Leste.
“Semua negara MSC membentangkan strategi dan inisiatif pencegahan kebakaran hutan dan tanah,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia turut mengadakan pertemuan dan perbincangan dua hala bersama Menteri Lingkungan Hidup serta delegasi Indonesia bagi bertukar pandangan dan berkongsi usaha memantau serta mengekang peningkatan titik panas.
“Malaysia dan Indonesia komited melipatgandakan usaha untuk mengatasi kebakaran dan keadaan jerebu pada masa ini,” katanya.
“Fenomena El Niño dengan intensiti yang semakin kuat menjadi cabaran hebat khususnya bagi negara yang mempunyai kawasan tanah gambut yang sangat luas dan dalam.
“NRES turut menyertai Mesyuarat Ke-37 Pegawai-Pegawai Kanan Alam Sekitar ASEAN (ASOEN) dan mesyuarat berkaitan pada 10 hingga 13 Ogos secara dalam talian yang membabitkan 11 negara anggota ASEAN,” katanya.
Katanya, ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) melaporkan fenomena El Nino diramalkan lebih kuat berbanding 2025 selain tempoh kering dijangka berpanjangan dan meningkatkan potensi jerebu merentas sempadan.
“Sehubungan itu, NRES merancang beberapa strategi termasuk mengemukakan surat rasmi kepada Sekretariat ASEAN bagi menyeru semua negara di selatan rantau ASEAN mempergiat usaha dan melaksanakan persediaan berterusan menghadapi kemungkinan El Niño kuat.
“Di bawah inisiatif Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Merentas Sempadan, Tahap Amaran 2 telah diaktifkan pada 3 Ogos 2026.
“Negara-negara di selatan rantau ASEAN perlu mengemukakan Pelaporan Harian dan Tindak Balas Kecemasan bagi kejadian kebakaran, jerebu dan tindakan yang sudah diambil,” katanya.
Menurutnya, NRES akan terus memantau maklumat berkenaan sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan gelombang jerebu merentas sempadan susulan yang lebih serius.
“NRES bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) akan terus memantau dan melaporkan perkembangan terkini cuaca, kualiti udara dan situasi jerebu yang melanda negara dari semasa ke semasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




