bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 825 individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP), semalam, termasuk 217 orang ditahan kerana gagal menjaga penjarakan fizikal.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada keseluruhan tangkapan, 810 individu dikenakan kompaun, manakala 15 lagi direman.
“Kegagalan menjaga penjarakan fizikal merekod jumlah tangkapan tertinggi dengan 217 orang, diikuti 151 kesalahan merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran serta makan di premis.
“Kesalahan lain direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (137), kegagalan merekod butiran diri dan daftar masuk premis (113), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (94) dan membawa penumpang berlebihan (45),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ismail Sabri berkata, seramai 26 orang turut ditahan kerana terbabit aktiviti pusat hiburan, manakala 12 lagi tindakan atas kegagalan premis mematuhi arahan dan 30 lagi atas lain-lain kesalahan.
Mengenai Operasi Benteng atau Op Benteng pula, beliau berkata, pihak berkuasa berjaya menahan 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas lima kenderaan darat serta sebuah bot, semalam.
“Dalam operasi itu juga, 171 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui sembilan aktiviti penglihatan.
“Pasukan Op Benteng membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dibantu Jabatan Sukarelawan Negara (RELA) membuat 957 sekatan jalan raya,” katanya.
Sementara itu, katanya, pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan 12 kompaun ke atas premis perniagaan ingkar SOP, semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




