jashadiqe@nst.com.my
Pasir Gudang: Seorang lelaki ditemukan maut di dalam tangki enap cemar industri berkapasiti 15,000 meter padu di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang di sini, malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Firdaus Ahmad berkata, mangsa berusia 26 tahun itu ditemukan pada kedalaman kira-kira 1.5 meter di dalam tangki enap cemar logam hidroksida buangan terjadual berkenaan yang berketinggian kira-kira 6.1 meter.
Katanya, tangki simpanan industri itu digunakan untuk menampung enap cemar iaitu sisa yang dihasilkan semasa rawatan air sisa industri dan operasi pemprosesan logam.
Firdaus berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.51 malam.
“Meskipun usaha menyelamat telah dilakukan, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lelaki itu dipercayai pekerja di tapak perindustrian berkenaan. Bagaimanapun punca dia berada di dalam tangki tersebut masih dalam siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
