am@hmetro.com.my
Temerloh: Jenazah dua beranak yang maut dalam nahas membabitkan lori tangki dan sebuah kereta di Kilometer 9, Jalan Temerloh–Triang, dekat Kampung Lebak, Jumaat lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sanggang, di sini, hari ini.
Jasad Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, disemadikan berhampiran pusara anaknya, Muhammad Fattah Aisy Naufal Saifulnizam, 12, secara serentak selepas solat Zuhur dan proses pengebumian selesai kira-kira jam 2.30 petang.
Suasana pilu menyelubungi pengebumian dua beranak terbabit, terutama ketika Saifulnizam Sulaiman, 39, tidak dapat menahan kesedihan sebaik jasad isteri dan anaknya disemadikan.
Terdahulu, jenazah dua beranak terbabit dituntut waris di Unit Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ahmad Shah, di sini, kira-kira jam 10 pagi.
Menurut suami arwah Nur Fatimah Syuhada, Saifulnizam, proses mandi jenazah dilakukan menerusi kaedah tayamum dan dikafan di unit forensik terbabit.
Katanya, kedua-dua jasad kemudian dibawa ke Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq di Kampung Sanggang untuk disolatkan sebelum dikebumikan.
“Jenazah dikebumikan di Kampung kelahiran arwah isteri saya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Saifulnizam berkata, kali terakhir bertemu isteri dan anaknya Selasa lalu sebelum beliau pulang ke Kampung Gadung, Sendayang, Negeri Sembilan untuk menguruskan kolam ternakan ikan air tawar.
Katanya, beliau sedang mengusahakan kolam ikan sejak awal bulan ini dan kerap berulang-alik dari Jerantut ke kampung kelahirannya itu.
“Kami ada kolam ikan di Jerantut dan pada masa sama saya memperluaskan projek ternakan itu di kampung saya di Sendayang dan saya balik ke sana seorang diri Selasa lalu.
“Isteri dan anak saya pula bergerak ke sana selepas solat Jumaat dan sepatutnya tiba di Sendayang kira-kira jam 6 petang.
“Saya sudah membeli tauhu organik untuk dihidangkan kepada isteri dan anak saya sebaik mereka sampai tetapi mereka tidak sampai kerana kemalangan Jumaat lalu,” katanya ketika ditemui.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, Jumaat lalu, dua beranak terbabit maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap lori tangki bermuatan 32,000 liter bahan api.
Nahas berlaku ketika lori tangki dari arah Bera ke Temerloh hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan serta menghempap kereta dinaiki dua beranak terbabit.
Kemalangan menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar dan dua beranak terbabit rentung.
Pemandu lori berusia 37 tahun hanya cedera ringan, direman hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd
