UiTM Cawangan Perak muncul juara Kejohanan Liga Bola Sepak IPT Divisyen 3 2026 selepas menewaskan City University 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi final di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah pada Ahad.
Kejohanan yang berlangsung dari 9 hingga 16 Ogos itu menghimpunkan 14 pasukan institusi pengajian tinggi dari seluruh negara bagi merebut gelaran juara Divisyen 3.
Perjalanan UiTM Cawangan Perak menuju kejuaraan berlangsung cukup meyakinkan apabila membuka kempen peringkat kumpulan dengan kemenangan 4-1 ke atas TAR UMT sebelum membenam INTEC 3-0 untuk mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati.
Pada suku akhir, skuad kendalian Shahreen Nizam Sharuddin terus mempamerkan aksi cemerlang apabila menewaskan KPTM Kota Bharu 4-0.
Cabaran lebih getir menanti di separuh akhir apabila mereka berdepan UniMAP dalam perlawanan sengit, namun UiTM Cawangan Perak berjaya mencatat kemenangan 3-2 untuk melangkah ke pentas final.
Dalam aksi penentuan kejuaraan, UiTM Cawangan Perak tampil penuh disiplin dan bertenaga sebelum Muhammad Danial Zarfan Zainal membuka jaringan.
Bagaimanapun, City University bangkit menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Wafie Othman untuk mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa penuh.
Muhammad Khairul Fahmi kemudian muncul wira UiTM Cawangan Perak apabila menyelamatkan dua sepakan penalti lawan sebelum menyempurnakan penalti terakhir pasukannya untuk memastikan trofi kejuaraan menjadi milik UiTM Cawangan Perak.
Kecemerlangan penjaga gol itu turut diiktiraf apabila beliau dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan.
Sebagai juara, UiTM Cawangan Perak membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM5,000, sekali gus mengukuhkan reputasi universiti itu sebagai antara pencabar utama dalam arena bola sepak institusi pengajian tinggi negara.
Shahreen menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil semangat juang tinggi, keyakinan diri dan penerapan mentaliti juara dalam kalangan pemain sepanjang kejohanan.
“Semangat juang dan keyakinan diri yang tinggi, selain mentaliti juara yang diterapkan dalam pasukan, menjadi tunjang kepada kejayaan ini.
“Taktikal yang dirancang oleh barisan jurulatih hanyalah panduan, namun kejayaan sebenar ditentukan oleh cara pemain menterjemahkan taktikal tersebut di atas padang ketika perlawanan berlangsung,” katanya.
Kejayaan itu turut membuktikan komitmen berterusan UiTM Cawangan Perak dalam memperkasakan pembangunan sukan universiti, khususnya bola sepak, menerusi latihan sistematik, kepimpinan jurulatih yang berkesan serta dedikasi tinggi para atlet.
Sementara itu, Pengurus Pasukan UiTM Cawangan Perak, Muhammad Farid Muhamad Ismail merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan universiti, barisan kejurulatihan, pegawai pasukan, penyokong serta semua pihak yang memberikan sokongan sehingga kejayaan tersebut direalisasikan.
