Ekonomi Tumbuh 5.7 Peratus, Reformasi Mungkin Tak Popular Tetapi Perlu – Amir Hamzah

Ekonomi Malaysia terus menunjukkan daya tahan apabila mencatat pertumbuhan 5.7 peratus bagi separuh pertama 2026, namun kerajaan menegaskan momentum itu perlu disokong dengan reformasi ekonomi yang mungkin tidak popular tetapi penting bagi menjamin manfaat jangka panjang kepada negara dan rakyat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.4 peratus pada suku pertama sebelum meningkat kepada enam peratus pada suku kedua tahun ini.

Jelas beliau, prestasi itu mengatasi julat unjuran pertumbuhan KDNK 2026 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) antara empat hingga lima peratus, sekali gus memperlihatkan keupayaan ekonomi negara untuk terus berkembang dalam persekitaran global yang tidak menentu.

Katanya, keyakinan terhadap prospek Malaysia turut diterjemahkan menerusi semakan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK negara daripada 4.3 peratus pada Januari kepada 4.7 peratus pada April, sebelum mengekalkan angka itu dalam penerbitan terbaharunya pada Julai lalu.

Pada masa sama, nilai ringgit kekal stabil sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini, manakala momentum pelaburan terus kukuh selepas jumlah pelaburan diluluskan pada 2025 mencapai paras tertinggi dalam sejarah.

“Jumlah pelaburan diluluskan pada 2025 pula mencatatkan paras tertinggi dalam sejarah sebanyak RM431.1 bilion, meningkat 11 peratus, manakala pelaburan diluluskan bagi suku pertama 2026 kekal mampan pada RM92.8 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan, Putrajaya hari ini.

Di sebalik prestasi itu, Amir Hamzah berkata, kerajaan tidak boleh mengelak daripada meneruskan pembaharuan struktur ekonomi meskipun sesetengah langkah mungkin kurang disenangi pada peringkat awal.

“Sering kali dasar yang diperkenalkan tidak popular, tetapi perlu dilaksanakan kerana manfaat jangka panjang yang lebih besar kepada negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Antara pembaharuan yang dilaksanakan ialah penyasaran subsidi elektrik sejak 2023, peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelaksanaan sistem e-Invois secara berfasa.

Menurutnya, penambahbaikan penyasaran subsidi elektrik tidak menjejaskan sebahagian besar isi rumah apabila 85 peratus pengguna domestik kekal dilindungi, selain membantu memastikan kemampanan sektor tenaga negara.

Pelaksanaan peluasan skop SST pula menunjukkan kesan positif terhadap usaha memperkukuh hasil kerajaan tanpa menjejaskan kuasa beli dalam pasaran domestik, menerusi pendekatan progresif berteraskan prinsip keadilan sosial.

“Pelaksanaan e-Invois secara berfasa kini menjadi tunjang kepada usaha meningkatkan ketelusan ekosistem perniagaan negara.

“Sistem itu bukan bertujuan membebankan, sebaliknya membantu mengecilkan saiz ekonomi bayangan (shadow economy), meningkatkan kecekapan taksiran serta mempercepatkan tadbir urus percukaian domestik,” katanya.

Bagaimanapun, Amir Hamzah menegaskan angka pertumbuhan ekonomi semata-mata tidak memadai sekiranya rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup.

Katanya, inflasi bagi tujuh bulan pertama tahun ini meningkat kepada 1.8 peratus susulan kenaikan harga minyak mentah dunia akibat konflik Asia Barat, menyebabkan kerajaan terus memperkukuh langkah bagi mengurangkan tekanan terhadap isi rumah.

“Antaranya, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan daripada RM10 bilion pada 2024 kepada RM15 bilion, menjadikannya peruntukan bantuan bersasar tertinggi dalam sejarah.

“Kerajaan turut memperluas Program Jualan Rahmah MADANI pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada pasaran, meliputi semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta seluruh 40 zon di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan, dengan 15,881 program dilaksanakan sehingga 30 Jun lalu, ” katanya.

Selain itu, kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel menerusi mekanisme BUDI MADANI Diesel mulai 1 Julai lalu, membolehkan rakyat Malaysia yang layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter dengan had asas sehingga 200 liter sebulan.

KREDIT GAMBAR UTAMA: BERNAMA


Scroll to Top