Umpan telefon untuk amang murid dalam perpustakaan, 'pak guard' direman

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Pengawal keselamatan direman tujuh hari di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki di sebuah perpustakaan awam di Yong Peng, bulan lalu.

Perintah reman ke atas suspek berusia 31 tahun dikeluarkan Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman bermula hari ini sehingga Isnin, bagi membantu siasatan lanjut mengkut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Berdasarkan laporan, kejadian berlaku jam 3 petang ketika murid Tahun Empat itu perpustakaan terbabit seorang diri sebaik selesai sesi persekolahan.

Ketika kejadian, suspek yang sudah bertunang dan bakal melangsungkan perkahwinan tahun depan berada di premis itu.

Suspek dipercayai mengambil kesempatan mengumpan mangsa dengan telefon bimbit.

Kejadian itu terbongkar apabila mangsa menceritakan kepada guru sebelum siasatan dijalankan.

Pihak sekolah memaklumkan perkara itu kepada bapa mangsa yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Yong Peng untuk tindakan lanjut.

Bertindak atas laporan dibuat, polis menahan suspek ketika sedang bertugas di Parit Yaani, dekat sini, 8.50 malam tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top