Ilmu kimpalan pembakar semangat bina kehidupan baharu

Ilmu kimpalan  pembakar semangat  bina kehidupan baharu

am@hmetro.com.my

Pokok Sena: Di sebalik tirai besi, seorang lelaki berusia 30-an kini mengasah kemahiran kimpalan sebagai bekalan untuk membina kehidupan baharu apabila dibebaskan kelak.

Azman (bukan nama sebenar) yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun berkata, dia sangat bersyukur diberi peluang untuk mempelajari kemahiran itu menerusi Program Peluang Kedua Anda (PEKA) di Penjara Pokok Sena.

Katanya, selepas dua bulan mengikuti latihan itu, dia kini mampu mengimpal dan memotong plat selain menghasilkan pelbagai barangan seperti kerusi, meja, tempat meletakkan pasu bunga dan penyidai pakaian.

“Saya sudah setahun menjalani hukuman, dulu saya tidak ada kemahiran ini. Selepas masuk program ini dua bulan lalu, banyak ilmu yang saya dapat, antaranya mengimpal dan memotong plat.

“Kursus ini bagus kerana memberi semangat baharu kepada kami untuk bekerja dalam bidang ini apabila bebas nanti, sekurang-kurangnya saya boleh mula buat di rumah secara kecil-kecilan selepas bebas nanti,” katanya ketika ditemui di Penjara Pokok Sena di sini, kelmarin.

Wanita dikenali sebagai Yati, 30-an yang sedang menjalani hukuman penjara di situ pula berkata, latihan penyediaan makanan membuka peluang baharu kepadanya yang kini sudah mampu menghasilkan karipap pusing termasuk menggunakan mesin.

Katanya, dia dulu tidak mahir menyediakan makanan, namun kini segalanya berubah.

“Dulu saya tidak tahu memasak, tetapi sekarang sudah tahu mengadun tepung dan menyediakan inti ayam dan daging berperisa lada hitam.

“Apabila berada di bengkel bersama kawan-kawan, ia jadi terapi untuk kami, rasa lebih semangat dan gembira.

“Saya cadang lepas bebas nanti, saya mahu jual karipap di luar. Ilmu yang diperoleh di sini diharap dapat membantu saya membina kehidupan baharu,” katanya.

Sementara itu, Penolong Penguasa Penjara Pokok Sena, Mohd Firdaus Nordin berkata, seramai 100 prospek (sebelum ini, dipanggil sebagai banduan) yang mengikuti enam kumpulan latihan menerusi program PEKA dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2026 di penjara berkenaan sepanjang tahun ini.

Katanya, latihan itu membabitkan bidang kemahiran basah (wet skill), kimpalan, elektrik dan pendingin hawa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top