Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kestabilan politik menjadi keutamaan dalam usaha memastikan Malaysia terus berkembang sebagai destinasi pelaburan di peringkat global.
Foto: Astro Awani
Memetik laporan Harian Metro, menurut Anwar, keputusan untuk mengekalkan kestabilan politik memerlukan kompromi tertentu kerana keyakinan pelabur terhadap keadaan politik negara mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan ekonomi.
“Sebab itu orang sergah saya kerana nampak kompromi tetapi saya ada pilihan. Bertempur, ekonomi menjunam. Kompromi akan memberi keterbatasan tentang langkah-langkah diambil. Itu di antara dua keputusan yang harus dibuat.
“Maka saya memilih untuk menjaga supaya politik itu stabil dan ekonomi berkembang,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan, hari ini.

Beliau berkata, usaha mempertahankan kestabilan politik penting bagi mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif, sekali gus membolehkan ekonomi negara berkembang dengan lebih pesat.
Katanya, pertumbuhan ekonomi yang kukuh turut memberi kerajaan ruang untuk meningkatkan peruntukan dan perbelanjaan, khususnya bagi memenuhi keperluan rakyat.
“Bagi saya kestabilan politik itu sangat penting bagi negara kita kerana orang tidak akan melabur kalau politik itu tidak stabil,” jelasnya.
Artikel lain: Demi baiki sistem cukai, kerajaan terbuka kaji gabungan ciri SST dan GST -PM Anwar
Anwar berkata, kedudukan asas ekonomi negara yang kukuh ketika ini turut memberi lebih banyak ruang kepada kerajaan untuk menilai keperluan tambahan peruntukan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa setiap permintaan untuk peruntukan tambahan perlu dipertimbangkan secara menyeluruh dengan mengambil kira keadaan makroekonomi serta kekangan kewangan yang dihadapi negara.
Sumber: Harian Metro (Mohd Iskandar Ibrahim)

