Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah kepada pemimpin politik supaya tidak bergaduh, bertelagah atau berebut kuasa sehingga mencetuskan perpecahan sesama sendiri.
Baginda juga bertitah supaya segala usaha dan perhatian seharusnya diberikan kepada pembangunan negeri, kesejahteraan rakyat serta kebajikan terhadap golongan yang memerlukan pembelaan.
Sultan Selangor menegaskan bahawa perbezaan pendirian dan fahaman politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama demi kepentingan negeri dan rakyat.
“Tanggungjawab kepimpinan hendaklah dilaksanakan penuh amanah, dengan mendahulukan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi mahupun kelompok politik,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office hari ini.
Menerusi hantaran itu juga, Sultan Sharafuddin mengingatkan bahawa kemajuan Selangor perlu disertai keharmonian masyarakat dan kestabilan pentadbiran.
Baginda bertitah pemimpin hendaklah memelihara sikap saling menghormati serta mengutamakan perbincangan yang membina dalam menangani sebarang perbezaan.
Menurut hantaran itu, Sultan Sharafuddin berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin dan doa selamat sempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.
Baginda kemudiannya menunaikan solat Jumaat bersama-sama rakyat jelata.
Pada majlis itu, baginda berkesempatan bertemu dan bersantap dengan dua bekas Menteri Besar Selangor iaitu Dr Mohamad Khir Toyo dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Menteri Besar Selangor ketika ini, Datuk Seri Amirudin Shari.
“Pertemuan ini mencerminkan keprihatinan berterusan Sultan Selangor terhadap hala tuju negeri dan kehidupan rakyat, di samping memperlihatkan hubungan baik antara institusi diraja dengan kepimpinan pentadbiran negeri, termasuk mereka yang pernah menggalas tanggungjawab tersebut,” menurut hantaran berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




