asyikin.mat@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hubungan diplomatik di antara Malaysia dengan China yang terbina sekian lama perlu terus diperkukuh berasaskan prinsip saling menghormati dan manfaat bersama, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri turut berharap hubungan erat Malaysia dengan China terus berkembang demi kepentingan kedua-dua negara dan rakyatnya.
“Hari ini saya menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing yang bakal menamatkan tempoh perkhidmatannya di negara ini.
“Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di Malaysia, tentunya banyak pengalaman, pencapaian dan kenangan yang terbina bersama.
“Saya merakamkan penghargaan atas komitmen Ouyang dalam mempererat hubungan antara Malaysia dan China serta usaha beliau mendekatkan kerjasama antara kerajaan, sektor perniagaan serta rakyat kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Ahmad Zahid turut berkongsi gambar pertemuan dengan Ouyang di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.
Katanya, dalam pertemuan ini, mereka turut bertukar pandangan mengenai hubungan Malaysia-China yang terus berkembang serta ruang kerjasama yang boleh diterokai pada masa hadapan.
“Terima kasih Ouyang di atas segala khidmat dan persahabatan sepanjang berada di Malaysia.
Saya mendoakan semoga beliau terus diberikan kejayaan dalam apa jua amanah selepas ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




