nuratikah@bh.com.my
Kuala Lumpur: Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung mempunyai ruang untuk menyuarakan pandangan dalam PKR, namun tidak menggunakan ruang itu dengan menghadiri kebanyakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sejak November tahun lalu.
Timbalan Setiausaha Agung PKR Bryan Ng Yih Miin berkata, MPP antara platform utama kepimpinan parti untuk membincangkan isu nasional, dasar kerajaan dan perkembangan semasa termasuk ruang kepada pimpinan mengemukakan pandangan serta perbezaan pendapat.
Menurutnya, ruang berkenaan turut dihadiri Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain menteri dan timbalan menteri daripada parti itu.
“Jadi persoalannya mudah. Jika benar beliau disekat daripada bersuara, bila, dalam mesyuarat mana, oleh siapa dan apakah isu yang cuba dibangkitkan tetapi dihalang?
“Chean Chung sendiri memilih untuk meletakkan jawatan daripada MPP PKR,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bryan berkata, perkara sama turut berlaku dalam isu membabitkan penduduk Petaling Jaya termasuk mitigasi banjir apabila Chean Chung didakwa tidak menghadiri kebanyakan mesyuarat yang diadakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan di peringkat negeri.
Katanya, dalam satu mesyuarat terakhir yang diingatinya, Chean Chung menghantar pegawai khas, namun tiada isu dibangkitkan oleh wakil berkenaan.
“Begitu juga dengan Rancangan Tempatan Petaling Jaya iaitu mesyuarat penting yang menentukan hala tuju pembangunan bandar termasuk penggunaan tanah, trafik, kemudahan awam dan perancangan masa depan.
“Beliau dijemput sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya tetapi sekali lagi tidak menghadiri kebanyakan mesyuarat berkenaan,” katanya.
Bryan berkata, sekiranya Chean Chung benar-benar mahu menyelesaikan isu rakyat, beliau sepatutnya menggunakan ruang yang disediakan untuk membawa isu berkenaan kepada pihak berkaitan.
Beliau turut mempersoalkan dakwaan Chean Chung yang mengaku keliru dengan strategi Perdana Menteri dan hala tuju kerajaan sedangkan beliau sebelum ini mempunyai ruang untuk mengemukakan persoalan dalam MPP.
“Kalau ada persoalan, tanya. Kalau tidak setuju, bahas. Kalau ada cadangan lebih baik, kemukakan.
“Malah, dalam isu pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, beliau sendiri pernah membangkitkan pandangan dan kerajaan membuat penambahbaikan,” katanya.
Dalam pada itu, Bryan mempersoalkan tindakan Chean Chung menghadiri program dan berdiri di pentas Parti Bersama ketika masih menjadi Ahli Parlimen serta anggota PKR.
Katanya, sekiranya Chean Chung sudah hilang keyakinan terhadap PKR, beliau mempunyai hak untuk berundur daripada parti itu terlebih dahulu.
“Jangan putar fakta seolah-olah tindakan disiplin berlaku hanya kerana beliau bersuara. Tindakan terhadap anggota yang membantu atau menyokong pihak lawan juga bukan sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Bryan berkata, rakyat berhak mengetahui keseluruhan keadaan termasuk tindakan Chean Chung sebelum tindakan disiplin dikenakan terhadapnya.
Terdahulu, Chean Chung mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya berkuat kuasa serta-merta, selepas keahliannya dalam PKR digantung selama tiga tahun.
Keputusan itu dibuat dua hari selepas beliau menerima keputusan penggantungan pada 30 September lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




