PETALING JAYA: Setelah 37 hari menunggu dalam ketidakpastian, sebuah keluarga akhirnya menarik nafas lega apabila seorang rakyat Malaysia yang terputus hubungan susulan bencana banjir dan tanah runtuh di Nepal disahkan selamat dan pulang ke tanah air, semalam.
Jurucakap Malaysia-Singapore Family Interest Group (MASFIH), Ts. Dr. R. Manivannan berkata, individu berbangsa Cina itu mengembara seorang diri dan menjadi satu-satunya pelancong solo dalam kalangan 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.
Katanya, berdasarkan komunikasi langsung dengan waris, individu berkenaan berada di Nagthali Viewpoint pada pukul 3.26 petang, 25 Ogos lalu iaitu sehari sebelum bencana banjir dan tanah runtuh berlaku.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Dia kemudiannya terkandas untuk suatu tempoh akibat kemusnahan jalan dan jambatan, selain ketiadaan bekalan elektrik, air dan akses internet yang menyukarkan pergerakan serta komunikasi.
“Dia akhirnya berjaya meneruskan perjalanan ke Kathmandu sebelum hadir sendiri ke Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Khamis lalu,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Nepal bersetuju memberikan komitmen penuh mengesan 54 lagi rakyat Malaysia yang masih hilang.
Menurut Manivannan, individu itu pulang ke Malaysia selepas berjaya mendapatkan akses untuk keluar dari kawasan terjejas.
Katanya, kepulangan itu memberi kelegaan besar kepada keluarga yang selama ini menunggu tanpa mengetahui keadaan sebenar.
“Kami amat gembira dan bersyukur kerana seorang daripada 55 rakyat Malaysia yang belum dapat dihubungi kini ditemukan selamat dan telah kembali kepada keluarganya,” katanya.
Manivannan berkata, 54 lagi rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi dan dipercayai melakukan perjalanan secara berkumpulan.
Katanya, 52 daripada mereka menyertai empat kumpulan terdiri daripada 23, 17, sembilan dan tiga orang manakala dua lagi mengembara bersama pelancong dari negara lain.
Daripada jumlah itu, 42 orang berbangsa India, 11 Melayu dan seorang Cina.
Sementara itu, keluarga Muhammad Haziq Ismail, 36, masih menanti kepastian mengenai keberadaannya.
Kakaknya, Nurizzati turut memohon orang ramai menitipkan doa buat Muhammad Haziq.
Muhammad Haziq antara sembilan rakyat Malaysia yang gagal dihubungi ketika dalam perjalanan menuju sempadan Rasuwagadhi-Kerung. – UTUSAN




