Peruntukan tambahan RM1 juta perlu diberi sama rata kepada semua MP – Gobind

KUALA LUMPUR – Peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen perlu diberikan secara sama rata kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti politik.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap ahli Parlimen mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab serta memenuhi keperluan rakyat di kawasan masing-masing.

Menurutnya, pemberian peruntukan secara adil juga perlu dijadikan satu pembaharuan yang kekal menerusi penggubalan undang-undang, bukan sekadar keputusan kerajaan semasa.

“Pada saya, tindakan (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) umum tambahan peruntukan RM 1 juta untuk setiap ahli Parlimen adalah sangat dihargai kerana ia akan membantu mereka dalam keadaan tersebut.

“Tetapi apa yang perlu kita perhatikan adalah memastikan bahawa terdapat peruntukan yang sama untuk semua ahli Parlimen daripada semua ahli parlimen.Jadi, dari dulu kita dalam Pakatan Harapan (PH) telah pun menyatakan bahawa peruntukan ini diberikan secara sama rata kepada semua ahli Parlimen dan itu ada di dalam manifesto kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran aplikasi Boost SME di KL Sentral, di sini, Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri mengumumkan tambahan RM1 juta peruntukan disalurkan bagi setiap kawasan Parlimen.

Beliau berkata, setiap ahli Parlimen yang dipilih rakyat mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keperluan penduduk di kawasan masing-masing ditangani termasuk melalui sokongan peruntukan.

“Bagi saya, kita harus lihat bagaimana perkara ini boleh diteruskan dan dilaksanakan. Saya harap Perdana Menteri boleh mengambil langkah untuk memastikan ada peruntukan yang diberikan secara sama rata kepada semua ahli Parlimen, tidak kira daripada parti politik mana.

“Aspek kedua adalah kita juga perlu melihat bagaimana undang-undang dapat dibentangkan untuk memastikan perkara ini menjadi satu pembaharuan yang kekal,” ujarnya lagi.

Gobind berpandangan, langkah berkenaan penting bagi memastikan reformasi berkaitan peruntukan ahli Parlimen tidak hanya bergantung kepada kerajaan yang sedang memerintah.

“Kita nak pembaharuan ini bukan pembaharuan sekadar kerajaan yang ada. Kita nak ini menjadi satu pembaharuan yang kekal,” katanya.

Gobind berkata, beliau akan membangkitkan perkara itu sekali lagi dengan Perdana Menteri selepas DAP sebelum ini beberapa kali membawa isu berkenaan kepada perhatian beliau.

Katanya, sebagai ahli Parlimen, beliau memahami terdapat pelbagai keperluan yang perlu ditangani apabila turun ke kawasan, termasuk perkara yang memerlukan bantuan kewangan.

“Saya berpendirian bahawa kita harus melaksanakan reformasi ini dengan segera. Saya akan bangkitkan perkara ini dengan Perdana Menteri sekali lagi.

“Sebelum ini, DAP telah beberapa kali membawa kepada perhatian beliau mengenai keperluan untuk memastikan perkara ini dilaksanakan dan saya terus berpendapat bahawa kita harus melaksanakannya,” katanya.

Beliau menegaskan, setiap ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab terhadap kawasan masing-masing dan keperluan itu tidak seharusnya dibezakan berdasarkan parti politik yang diwakili.

Scroll to Top