Diuji gempa, Indonesia tetap rai kemerdekaan

JAKARTA – Presiden Prabowo Subianto mengetuai upacara sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia ke-81 di Jakarta pada Isnin ketika negara itu meraikan hari bersejarah berkenaan dalam suasana duka susulan gempa bumi maut di Nusa Tenggara Timur (NTT) dan ketegangan yang tercetus pada acara ulang tahun perdamaian Aceh hujung minggu lalu.

Acara dimulakan dengan persembahan kesenian, perarakan dan pergerakan sebuah kereta kuda berwarna keemasan yang membawa replika bendera kebangsaan Merah Putih dan teks Proklamasi asal dari Monumen Nasional (Monas) ke Istana Merdeka.

Suasana kemudian bertukar hening apabila Prabowo mengetuai sesi bertafakur bagi memperingati jasa dan pengorbanan wira negara serta mendoakan rakyat yang terjejas akibat bencana.

Sambutan Hari Kemerdekaan yang mengundang pelbagai respons itu berlangsung ketika penduduk di Pulau Flores masih bergelut dengan kesan gempa yang telah meragut 53 nyawa.

Kira-kira 5,400 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman selepas gempa bumi 7.7 skala Richter melanda pulau itu pada awal Sabtu dan hampir 1,000 gegaran susulan dengan kekuatan berbeza direkodkan.

Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi berkata, beberapa menteri tidak dapat menghadiri acara tersebut kerana melakukan lawatan kerja ke NTT bagi memantau pelaksanaan operasi bantuan bencana.

“Kita juga perlu memastikan rakyat yang terkesan akibat bencana mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya,” kata Prasetyo.

Ketika ditanya sama ada Prabowo akan ke NTT untuk meninjau keadaan dan bertemu mangsa, Prasetyo memaklumkan tiada keputusan dibuat setakat ini. – Agensi

Scroll to Top