KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) perlu memperkukuh struktur tadbir urus dengan memastikan Lembaga Pengarahnya dibarisi individu memiliki kepakaran teknikal yang relevan bagi memastikan dana pendeposit dilindungi secara berkesan, kata seorang penganalisis.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Antarabangsa Majlis Perancang Kewangan Malaysia, Anuar Shuib berkata, Ahli Lembaga Pengarah harus memiliki pemahaman menyeluruh mengenai Akta Tabung Haji 1995 [Akta 535] bagi memastikan institusi itu sentiasa mematuhi undang-undang dan keperluan kawal selia.
Beliau berkata, Ahli Lembaga Pengarah juga perlu mempunyai kepakaran yang kukuh dalam bidang kewangan dan Syariah khususnya dalam menyelia aktiviti pelaburan TH serta memastikan semua operasi mematuhi prinsip-prinsip Islam.
“Ahli Lembaga Pengarah juga mesti memahami bagaimana pelaburan berfungsi dan wang boleh diuruskan dengan baik.
“Memandangkan wang itu akan dilaburkan, perlu ada seseorang dalam Lembaga Pengarah yang memahami selok-belok pelaburan,” katanya dalam program The Nation terbitan Bernama TV yang membincangkan topik Tabung Haji RCI: Can Financial Trust Be Fully Restored?
Anuar berkata, Lembaga Pengarah TH juga perlu memiliki pemahaman yang jelas mengenai tujuan asas penubuhan institusi itu, iaitu membantu umat Islam menunaikan ibadah haji, sambil menambah bahawa mandat dan ciri-cirinya adalah berbeza daripada institusi komersial konvensional.
“Tujuannya ialah untuk membantu umat Islam menunaikan ibadah Haji, itulah asas kewujudan TH. Ia bukan seperti institusi komersial lain seperti bank komersial atau institusi kewangan.
“Ciri-ciri TH adalah berbeza, dan perkara ini perlu difahami,” katanya.
Menyentuh mengenai aspek tadbir urus pelaburan, beliau berkata TH perlu melaksanakan usaha wajar dan penilaian prapelaburan yang menyeluruh sebelum meluluskan komitmen dana termasuk memastikan aset tidak diperoleh pada harga melebihi nilai pasaran semasa.
Anuar berkata, aktiviti pelaburan sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada risiko namun risiko sedemikian perlu diteliti bagi menentukan sama ada ia munasabah dan memberikan nilai yang sewajarnya kepada institusi tersebut.
Sambil membuat perbandingan dengan dana institusi utama lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), beliau berkata, dasar dalaman yang jelas, termasuk pemisahan yang wajar antara pasukan yang mengendalikan pelaburan domestik dan antarabangsa, dapat membantu mencegah pengaruh tidak wajar serta mengekalkan integriti operasi.
“Setiap organisasi mungkin mempunyai cara pengurusan berbeza namun kita harus memastikan bahawa kita mempunyai dasar yang betul dan bersesuaian,” katanya.
Anuar turut menyambut baik cadangan supaya aktiviti pelaburan TH diletakkan di bawah seliaan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerusi Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
Beliau berkata, cadangan itu mampu menyediakan lapisan akauntabiliti tambahan dan memperkukuh tadbir urus aktiviti pelaburan TH.- Bernama
