Kuala Lumpur: FGV Holdings Berhad (FGV) hari ini secara rasmi mengumumkan pelantikan Nurul Muhaniza Hanafi sebagai Pengarah Urusan Kumpulan (GMD) yang baharu, berkuat kuasa 18 Ogos 2026.
Pelantikan berkenaan sekali gus melakar sejarah tersendiri buat syarikat gergasi agribisnes tempatan itu apabila beliau menjadi wanita pertama yang diberi kepercayaan untuk menerajui kepimpinan tertinggi FGV.
Sebelum pelantikan rasmi ini, Nurul Muhaniza mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Lembaga Pengarah (BEC) sejak Mac 2026 bagi mengambil alih fungsi serta tanggungjawab Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.
Menerusi peranan berkenaan, beliau telah menerajui kepimpinan eksekutif selain menyelia keseluruhan operasi, keutamaan strategik dan pelbagai inisiatif transformasi utama yang sedang dilaksanakan oleh Kumpulan.
Beliau yang mula menganggotai Lembaga Pengarah FGV pada 1 April 2024 sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas, sebelum ini turut memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Urus & Pengurusan Risiko.
Pengalaman luas Nurul Muhaniza merangkumi bidang perundangan, institusi awam dan sektor korporat, membolehkan beliau memberi khidmat nasihat kritikal berkaitan strategi, kawal selia serta hal ehwal komersial yang kompleks.
Pengerusi FGV, Datuk Abu Huraira Abu Yazid berkata, pelantikan itu mencerminkan komitmen Lembaga Pengarah dalam mengiktiraf kepimpinan berasaskan merit, di samping memperkukuh agenda kepelbagaian dan keterangkuman.
Menurutnya, sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi BEC, Nurul Muhaniza mempamerkan keupayaan kepimpinan yang mantap, pertimbangan teliti serta hala tuju strategik yang amat jelas dalam memastikan kesinambungan operasi Kumpulan.
Beliau menambah, pihak pengurusan berharap dapat bekerjasama rapat dengan GMD baharu itu bagi meneruskan agenda transformasi, memperkukuh kecemerlangan operasi dan menerapkan nilai kelestarian serta Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Pada masa sama, pengukuhan aspek tadbir urus, akauntabiliti dan integriti di setiap peringkat Kumpulan akan terus diberi keutamaan tertinggi di bawah pentadbiran baharu ini.
Sementara itu, Nurul Muhaniza komited untuk menerajui FGV dalam fasa transformasi seterusnya berlandaskan integrasi rapat bersama FELDA serta penanda aras prestasi operasi yang lebih kukuh.
Langkah berkenaan merangkumi pemerkasaan perniagaan teras syarikat bagi memacu pertumbuhan mampan di sepanjang rantaian nilai agribisnes bersepadu, sekali gus menjana nilai ekonomi jangka panjang demi kesejahteraan komuniti peneroka FELDA
© New Straits Times Press (M) Bhd
