'Undang-undang memilih saya'

surayaroslan@mediaprima.com.my

KELIHATAN tegas ketika berhujah dan mempertahankan kes di mahkamah, namun di luar dunia perundangan, Nurul Sarah Afiqah Abdul Razak sebenarnya seorang yang sederhana dan gemar menikmati perkara kecil dalam kehidupan.

Bagi peguam litigasi muda ini, kehidupan tidak seharusnya hanya berkisar mengenai fail, tarikh perbicaraan dan kes yang perlu diselesaikan.

Selepas berdepan tekanan di mahkamah, dia memilih untuk ‘reset’ diri dengan membaca novel atau buku ilmiah, menghadiri syarahan atau kuliah agama, bersenam, meluangkan masa bersama keluarga, keluar makan, bercuti seketika atau sekadar menikmati waktu tenang tanpa memikirkan pekerjaan.

“Saya percaya kita tidak boleh sentiasa berada dalam ‘courtroom mode’. Kita perlu tahu bila masa untuk berjuang dan bila masa untuk berehat,” katanya.

Baru berusia 27 tahun, tetapi pengalaman dalam bidang litigasi membentuk dirinya menjadi seorang wanita yang yakin, tegas dan tidak mudah mengalah.

Namun, ketegasan itu tidak bermakna dia perlu menjadi individu paling lantang atau keras dalam setiap keadaan.

Sebaliknya, Nurul Sarah Afiqah percaya, kekuatan seorang peguam terletak pada ilmu, persediaan, ketenangan dan keberanian untuk mempertahankan sesuatu yang diyakini benar.

Menurutnya, keyakinan tidak hadir dalam sekelip mata, sebaliknya terbina melalui ilmu, pengalaman serta keberanian untuk berhadapan dengan kesilapan.

“Saya belajar bahawa seorang peguam tidak semestinya perlu menjadi orang yang paling lantang dalam mahkamah.

“Sebaliknya, kita perlu merancang, tahu apa yang kita perlu perjuangkan, mempunyai asas undang-undang yang kukuh dan mampu menyampaikan hujah dengan jelas serta tenang,” katanya.

Katanya, sebagai anak sulung dalam keluarga, ditambah pula kedua-dua ibu bapanya juga adalah peguam, keadaan itu sedikit sebanyak membentuk jiwa yang tegas dan kental dalam dirinya.

“Namun, saya akui pengalaman yang benar-benar mematangkan sifat berkenaan. Jika dahulu lebih berhati-hati dan banyak berfikir sebelum bersuara, dunia litigasi mengajar saya untuk berani menyatakan pendirian apabila yakin sesuatu pandangan itu benar dan mempunyai asas.

“Pada masa sama, keyakinan diri tidak pernah menjadi alasan untuk berhenti belajar.

“Litigasi banyak mengajar saya satu perkara, kita boleh yakin dengan diri sendiri, tetapi pada masa sama kita mesti sentiasa bersedia untuk belajar daripada orang lain,” katanya.

Menurutnya, pilihan untuk menceburi bidang guaman juga bukan sesuatu yang dirancang dengan terlalu jelas sejak awal.

“Ketika masih menuntut di universiti, setiap kali ditanya mengapa memilih jurusan undang-undang yang dianggap sukar, saya mempunyai jawapan tersendiri.

“‘I didn’t choose law but law chose me’ (saya tidak memilih undang-undang, tetapi undang-undang memilih saya),” katanya.

Menurutnya, ungkapan itu menjadi penguat dan pemangkin dirinya sepanjang tempoh pengajian.

“Apabila memasuki alam kerjaya, minat terhadap litigasi semakin kukuh apabila saya menyedari bidang ini bukan sekadar berkaitan akta, seksyen atau prosedur, tetapi turut menyentuh manusia dan kehidupan mereka.

“Setiap kes pula memberikan cabaran berbeza kerana memerlukan seseorang peguam berfikir, membuat analisis dan mencari penyelesaian dalam keadaan yang kadangkala sangat tertekan,” katanya.

Bagi Nurul Sarah Afiqah, litigasi juga mengajar dirinya untuk tidak mudah menyerah atau mengalah.

“Kita mungkin tidak boleh menentukan keputusan sesuatu kes, tetapi kita boleh memastikan bahawa kita sudah memberikan yang terbaik untuk klien dan menjalankan amanah sebagai peguam dengan penuh integriti,” katanya.

Menurutnya, lebih daripada itu, pengalaman mengendalikan kes membuatkan pandangannya terhadap manusia dan erti keadilan turut berubah.

Menurutnya, setiap fail sebenarnya mempunyai cerita tersendiri kerana di sebaliknya ada manusia, keluarga, emosi, harapan dan kadangkala kehidupan seseorang yang sedang berada dalam keadaan paling sukar.

“Daripada situ, saya belajar untuk tidak melihat sesuatu masalah hanya daripada satu sudut.

“Saya juga semakin berhati-hati dalam membuat penilaian terhadap seseorang dan tidak mudah bergantung kepada ‘first impression’.

“Saya juga belajar untuk tidak bersifat ‘double standard’ pada sesiapa saja,” katanya.

Menurutnya, keadilan pula tidak semestinya bermaksud seseorang mendapat apa yang diinginkan.

“Ada kalanya, keadilan ialah apabila seseorang diberi peluang untuk didengar, haknya dipertahankan dan proses undang-undang dijalankan dalam keadaan yang adil,” katanya.

Dalam perjalanan kerjaya, Nurul Sarah Afiqah mengakui pernah melalui fasa penat, kecewa dan tertanya-tanya sama ada segala pengorbanan yang dilakukan benar-benar berbaloi.

Namun, dia memilih untuk terus bertahan kerana sedar dirinya tidak memilih bidang guaman kerana ia mudah.

“Sebaliknya, saya memilih kerana percaya mampu memberikan sesuatu melalui kerjaya berkenaan.

“Antara perkara yang menjadi sumber kekuatan ialah apabila klien yang pernah dibantu kembali mengucapkan terima kasih kepada,” katanya.

Katanya, walaupun ucapan itu mungkin kelihatan kecil, bagi seorang peguam, ia boleh menjadi motivasi besar untuk terus melangkah.

“Saya percaya ‘success is not about never falling down, it is about having the courage to stand up every time we fall’ (saya percaya kejayaan bukan tentang tidak pernah jatuh, tetapi tentang keberanian untuk bangkit setiap kali kita jatuh),” katanya.

Dalam pada sibuk membina kerjaya, Nurul Sarah Afiqah turut menyedari pentingnya mempunyai kehidupan di luar dunia profesional.

“Konsep keseimbangan kerja dan kehidupan bukan bermaksud masa perlu dibahagikan 50-50 setiap hari.

“Ada ketika kerjaya memerlukan perhatian lebih, terutama apabila berdepan perbicaraan atau kes penting, namun apabila tiba masa bersama keluarga, saya percaya seseorang perlu benar-benar hadir dan menghargai waktu tersebut.

“Saya juga cuba untuk tidak membawa semua tekanan kerja pulang ke rumah. Kita tidak boleh mengawal semua perkara yang berlaku di pejabat atau mahkamah, tetapi kita boleh memilih bagaimana kita menguruskan tekanan itu,” katanya.

Bagi wanita muda itu, kejayaan kerjaya juga tidak akan terasa lengkap jika kehidupan peribadi dan hubungan bersama orang tersayang terabai.

“Pada akhirnya, kejayaan dalam kerjaya akan terasa lebih bermakna apabila kita masih mempunyai keluarga dan orang tersayang untuk berkongsi kejayaan itu,” katanya.

Di sebalik imej peguam yang perlu sentiasa bersedia berdepan tekanan, hujah dan konflik, Nurul Sarah Afiqah lebih selesa dengan kehidupan yang sederhana.

“Membaca, bersenam, menghadiri syarahan atau kuliah agama, keluar makan, bercuti dan meluangkan masa bersama keluarga menjadi antara cara saya mengembalikan tenaga selepas melalui hari yang panjang.

“Kejayaan bukan hanya mengenai kemenangan dalam kerjaya, tetapi keupayaan untuk terus menjadi manusia yang mempunyai ruang untuk berehat, bersyukur dan menikmati kehidupan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top