London: Eddie Hearn masih gigih berusaha memastikan pertarungan Battle of Britain antara Anthony Joshua dan Tyson Fury berlangsung di tanah air mereka.
Kedua-dua jaguh heavyweight itu sudah menandatangani kontrak untuk bertemu, namun pertikaian mengenai lokasi pertarungan menyebabkan urusan berkenaan masih tertangguh.
Perjanjian awal Joshua menetapkan pertarungan itu mesti berlangsung di UK, namun penganjur termasuk Netflix lebih cenderung mengadakan aksi di Amerika Syarikat (AS) bagi memanfaatkan siaran waktu perdana untuk penonton negara itu.
Hearn pula tetap dengan pendiriannya bahawa sebarang perubahan terhadap terma kontrak perlu disertai pampasan kewangan, sambil berusaha memastikan pertarungan itu berlangsung di tanah air.
Beliau pada awal Ogos mengesahkan tarikh sasaran adalah 20 November, Jumaat bagi mengelak pertembungan dengan jadual bola sepak kolej di gelanggang ikonik Madison Square Garden, New York.
Fury turut memberi bayangan bahawa pertarungan itu akan diumumkan “dalam masa terdekat”.
“Segalanya berjalan lancar. Saya ada berita besar yang akan diumumkan tidak lama lagi. Semuanya baik-baik saja.
“Pertarungan besar bakal berlangsung. Inilah pertarungan yang anda semua nantikan! Ia akan diumumkan tidak lama lagi, jadi nantikan,” katanya.
Tarikh 14 November pada awalnya dicadangkan, namun UFC sudah menempah Madison Square Garden untuk acara mereka sendiri. Justeru, minggu berikutnya kini menjadi pilihan utama.
Presiden UFC, Dana White, kekal tegas bahawa beliau akan terbabit dalam penganjuran pertarungan heavyweight sesama Britain itu dan sekali lagi menegaskan pendiriannya apabila ditanya mengenai perkara berkenaan hujung minggu lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

