Dilanggar lori Imigresen : mangsa berada di kawasan selamat untuk melintas jalan

safeek@bh.com.my

Kuala Lumpur: Keluarga yang dirempuh lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail, di sini, awal pagi tadi, sedang melintas jalan ketika kemalangan berlaku.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dilihat BH, empat sekeluarga itu sedang berada di pembahagi jalan, lampu isyarat Jalan Sultan Ismail, dari arah Medan Tuanku berhadapan dengan Maju Junction, menuju ke arah Jalan Chow Kit, jam 1 pagi tadi.

Pada masa sama, lori JIM yang datang dari arah bangunan Wisma FGV, Jalan Sultan Ismail, dengan menyalakan lampu beacon, secara tiba-tiba memasuki Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) ketika lampu isyarat masih merah, sebelum dilanggar sebuah kereta Proton Saga, yang datang dari arah Chow Kit menuju ke arah Maju Junction.

Akibat rempuhan itu, tiga daripada ahli keluarga terbabit mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, ketika kejadian keluarga mangsa berada di kawasan selamat untuk melintas jalan.

“Berdasarkan siasatan dan pengamatan rakaman CCTV semasa kejadian, kedudukan keluarga itu berada, adalah di kawasan selamat untuk melintas jalan namun dia dirempuh lori JIM.

“Semua sedia maklum, sistem CCTV di kawasan berkenaan adalah di tahap terbaik dan mampu membantu kita menjalankan siasatan sewajarnya.

“Pada masa ini, pemandu lori JIM berkenaan ditahan reman untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, tiga daripada empat sekeluarga maut selepas dirempuh sebuah lori JIM yang sedang dalam perjalanan untuk mengambil Orang Kena Tahan (OKT) dalam satu operasi JIM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top