am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas tampil menerusi persembahan penuh ekspresi di Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), baru-baru ini, penyanyi Aina Abdul terpilih mewakili Malaysia ke Eurovision Song Contest Asia 2026 pada November depan.
Pemilihan Aina dibuat berdasarkan keputusan juri profesional selaras dengan mekanisme yang ditetapkan.
Pada malam kemuncak itu, Aina menghidupkan lagu Kamu menerusi persembahan dramatik dan bertenaga, dengan visual gunung berapi sedang membuak menggambarkan emosi yang memuncak, selain penggunaan prop dan penghayatan vokal yang kuat.
Kamu adalah single keempat daripada album sulung Aina, Imaji yang menggabungkan elemen pop R&B dengan sentuhan blues.
Pemilihan Aina yang sinonim dengan persembahan unik, penuh makna tersurat dan tersirat serta kreativiti dalam komposisi muzik, busana dan elemen visual dijangka memberi kelebihan buat Malaysia di pentas antarabangsa.
Penyertaan ini juga membuka ruang buat Aina memperkenalkan bakat dan identitinya sebagai penghibur kepada penonton di seluruh rantau Asia, selepas mencipta momen tersendiri menerusi persembahan Kamu di pentas AJL40.
Eurovision Song Contest Asia 2026 ini bakal menghimpunkan penyanyi berbakat dari seluruh Asia dalam sebuah acara muzik secara langsung selama dua jam.
Dianjurkan oleh European Broadcasting Union (EBU), Eurovision berlangsung secara tahunan sejak 1956 dan berkembang daripada sebuah pertandingan muzik Eropah kepada fenomena budaya global yang merentasi sempadan geografi dan budaya.
Pertandingan berkenaan akan berlangsung pada jam 9 malam 14 November depan dan akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan Tonton.
Pada malam AJL40 lalu, Aina berjaya merangkul Persembahan Terbaik menerusi Kamu dan Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee hasil undian peminat.
© New Straits Times Press (M) Bhd

