Nabilah buru emas keempat

fadhli.ishak@nst.com.my

Sepang: Pelumba Kedah, Nurul Nabilah Asri meraih pingat emas ketiganya pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas muncul juara acara lebuh raya individu wanita, hari ini.

Nabilah menewaskan pelumba Johor, Intan Suraya Tokiman yang meraih perak dan rakan sepasukan dari Kedah, Zahra Afifah Zamri yang membawa pulang gangsa menerusi pecutan kelompok untuk mencatat masa dua jam dua minit sembilan saat.

Perlumbaan sejauh 90 kilometer (km) itu berlangsung dalam keadaan mendung dengan Bagan Lalang menjadi lokasi permulaan dan penamat.

Nabilah berkata, perlumbaan kali ini mencabar selepas rakan sepasukannya, Zasqia Amni Zamri terjatuh dalam kemalangan kira-kira 30km sebelum garisan penamat.

Zasqia Amni yang mengalami kecederaan pada lutut dan mengalami pendarahan dibawa ke garisan penamat menggunakan ambulans.

“Perlumbaan ini agak sukar buat kami kerana tinggal empat pelumba selepas Zasqia Amni terbabit dalam kemalangan, sekali gus menyukarkan usaha kami dalam kategori berpasukan.

“Johor dan Terengganu juga banyak melakukan cubaan untuk memisahkan kelompok sepanjang perlumbaan, jadi kami perlu sentiasa berwaspada.

“Ketika pecutan kelompok, saya bergerak sendiri dan cuba mencari ruang di antara pelumba Johor dan Terengganu.

“Saya bersyukur kami berjaya memenangi emas dan gangsa dalam acara individu,” katanya.

Kedah bagaimanapun terlepas emas kategori berpasukan kepada Terengganu, manakala Johor menduduki tempat ketiga.

Ketiga-tiga pasukan mencatat masa sama iaitu 8:06:27 saat (s), namun kedudukan ditentukan berdasarkan posisi pelumba ketika pecutan kelompok.

Nabilah yang memenangi acara kriterium wanita, semalam serta emas merentas desa basikal (XCO) minggu lalu, kini hanya memerlukan satu lagi emas untuk menyamai pencapaian kakaknya, Izzah Izzati Asri yang meraih empat emas pada SUKMA Kuala Lumpur 2022.

Izzah Izzati yang diserap ke skuad elit trek kebangsaan pada 2022 kemudian mencipta kejayaan dengan memenangi tiga pingat emas di Kejohanan Asia.

Nabilah selepas ini akan beraksi dalam acara trek di Velodrom Nasional, Nilai, hujung minggu ini.

“Saya berharap dapat memenangi lebih banyak pingat dalam acara trek tetapi ia tidak mudah kerana ada beberapa pelumba kuat yang turut bertanding,” katanya.

Peluang terbaik Nabilah untuk menambah koleksi emas di trek dijangka hadir menerusi acara scratch pada Ahad, namun dia perlu berdepan pelumba handalan termasuk wakil Johor, Nur Alyssa Farid.

Alyssa juga merupakan rakan sepasukan Izzah Izzati dalam skuad trek kebangsaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top