Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa menziarahi tiga tokoh ulama terkemuka dunia Islam yang sedang berada di Malaysia.
Mereka ialah tokoh ulama hadis Mesir Al-Fadhil Al-Allamah Al-Muhaddith Syeikh Dr Mustafa al-Nadwi Al-Hasani, Syeikh Qurra’ Dunia Al-Fadhil Al-Allamah Al-Muqri’ Syeikh Dr Ahmad Isa Al-Ma’sarawy dan Penjaga Utama bagi Wakaf Masjid dan Maqam Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani, Al-Syeikh Maulana Al-Sayyid Afeefuddin Al-Jailani.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata kesempatan itu beliau gunakan untuk bertanya khabar, memohon nasihat dan doa serta merakamkan penghargaan atas kesudian mereka hadir berkongsi ilmu dan hikmah, di samping menyemarakkan syiar Islam di tanah air.
“Alhamdulillah wa syukrulillah. Di celah kesibukan jadual harian, saya berkesempatan singgah ke Nasyrul Quran untuk menziarahi tiga tokoh ulama besar dunia Islam yang sedang berada di Malaysia.
“Semoga kunjungan para ulama ini menjadi asbab bertambahnya ilmu, keberkatan dan kecintaan kepada agama serta memperkukuh usaha kita membina masyarakat yang berakhlak, berilmu dan hidup dalam keharmonian, insya-Allah,” kata beliau.
© New Straits Times Press (M) Bhd
