Kes tender PDRM: Sayed Amir Muzzakkir minta sebahagian daripada RM19 juta fi perundingan Projek RMPNET – Saksi

Kuala Lumpur: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa beliau sering didesak oleh bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad supaya memberikan sebahagian daripada kira-kira RM19 juta fi perundingan yang diperolehnya berhubung tender projek Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Fi perundingan itu berhubung tender Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian dan Radio Pengguna Sistem RMPNet (RMPNet) untuk PDRM.

Pengarah Urusan Al Khairi Group Berhad Datuk Seri Mohd Khairi Mat Jahya, 43, berkata Sayed Amir Muzzakkir mahu mendapatkan bahagian itu kerana mendakwa telah memperkenalkannya kepada pemilik Nexuscorpgroup Sdn Bhd yang dikenali sebagai Wan Azhar, selain menemukan beliau dengan Menteri Dalam Negeri ketika itu Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Sayed juga mengatakan beliau telah membantu syarikat Nexuscorpgroup untuk mendapatkan projek RMPNet,” kata saksi pendakwaan ke-15 itu ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes rasuah Sayed Amir Muzzakkir yang berdepan tiga pertuduhan membabitkan nilai RM350,000.

Terdahulu, Mohd Khairi yang mengenali tertuduh sejak 2003 berkata beliau dilantik sebagai konsultan kepada Nexuscorpgroup dengan fi sebanyak lima peratus daripada nilai keseluruhan kontrak sekiranya berjaya mendapatkan pertimbangan Menteri Dalam Negeri bagi projek berkenaan.

Saksi itu berkata pada 28 April 2020, Sayed Amir Muzzakkir mengatur pertemuannya dengan Hamzah dan beliau kemudian mendapatkan minit “Datuk KSU untuk pertimbangan” daripada menteri pada surat sokongan Nexuscorpgroup.

Mohd Khairi berkata beliau hanya mengetahui nilai keseluruhan kontrak iaitu RM359,539,662.50, selepas Nexuscorpgroup memperoleh Surat Setuju Terima berkaitan projek RMPNet, menjadikan fi perundingannya kira-kira RM19 juta.

Selepas dianugerahkan projek itu, saksi berkenaan berkata Sayed Amir Muzzakkir mula meminta sebahagian daripada fi tersebut iaitu kira-kira RM9 juta.

Beliau berkata Sayed Amir Muzzakkir terus-menerus mendesaknya dan mengugut untuk menghalang saksi itu daripada bertemu menteri jika permintaannya tidak dipenuhi dengan mengatakan “Aku akan block hang dari jumpa dengan menteri jika hang tak bersetuju untuk bagi bahagian aku.”

Mohd Khairi berkata kira-kira dua bulan sebelum Sayed Amir Muzzakkir diberhentikan, beliau telah dihubungi oleh Hamzah untuk memaklumkan tentang salah laku Sayed Amir Muzzakkir.

“Saya tidak merayu kepada menteri ketika itu supaya tidak membuang Sayed walaupun saya berkawan baik dengan Sayed kerana pada pandangan saya, adalah lebih baik Sayed tidak menjadi pegawai kerajaan disebabkan beliau sering memberi tekanan kepada saya.

“Saya merasakan keputusan yang dibuat oleh menteri berkenaan isu ini adalah betul,” katanya.

Pada 23 Mei 2024, Sayed Amir Muzzakkir, 43, didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan RM350,000 daripada Wan Azhar Mohamed Yusof sebagai upah membantu Nexuscorpgroup memperoleh tender RMPNet untuk PDRM bernilai RM381,112,042.44 di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas di sini, masing-masing pada 4 petang, 4 Dis 2020, dan 3.30 petang, 16 Dis 2020.

Sayed Amir Muzzakkir juga dituduh meminta suapan RM350,000 daripada individu sama bagi tujuan serupa di pejabat Nexuscorpgroup Sdn Bhd di Shah Alam pada awal Disember 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top