WASHINGTON: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menerbitkan imej baharu kawah yang terbentuk selepas roket SpaceX terhempas di permukaan bulan pada awal bulan ini.
Imej itu dirakam kapal angkasa Lunar Reconnaissance Orbiter (LRO) antara 11 dan 12 Ogos, menunjukkan kesan hentaman selepas peringkat atas roket SpaceX Falcon 9 menghentam permukaan bulan pada 5 Ogos.
Saintis NASA menganggarkan kawah berkenaan berukuran kira-kira 18 meter lebar dan kurang daripada tiga meter dalam, berdasarkan panjang bayang-bayangnya.
Falcon 9 dilancarkan pada Januari 2025 dengan membawa pendarat bulan Blue Ghost 1 milik Firefly Aerospace, dalam satu misi persendirian yang berjaya melakukan pendaratan selamat di bulan.
Imej berkenaan bukan yang pertama menunjukkan lokasi nahas. Agensi angkasa Korea Selatan turut menerbitkan gambar pada 6 Ogos yang dirakam sehari sebelumnya oleh Korea Pathfinder Lunar Orbiter (KPLO), atau dikenali sebagai Danuri.
LRO yang beroperasi sejak 2009 mengelilingi bulan dari kutub ke kutub setiap dua jam ketika bulan berputar di bawahnya.
Menurut kenyataan NASA, proses merakam imej berkenaan bukan mudah. Untuk merakam lokasi tertentu di permukaan bulan, kapal angkasa itu perlu menunggu sehingga kawasan berkenaan berada dalam sudut pandangan yang sesuai.
“Dalam kes ini, ia mengambil masa enam hari dan kapal angkasa itu perlu dicondongkan pada sudut tepat supaya kameranya dapat menghala ke arah kawah ketika melintasi kawasan berkenaan pada ketinggian kira-kira 97 kilometer.
“Masa turut menjadi cabaran. NASA jika kamera dirakam walaupun 10 saat lebih awal atau lewat, sasaran berkenaan akan tersasar kira-kira 16 kilometer dari tengah imej,” katanya.
Imej yang dirakam dari sudut pandangan berbeza turut memperlihatkan ciri berlainan, termasuk jaluran lebih cerah dan gelap yang merebak di sekitar kawah.
NASA menjelaskan jaluran lebih gelap itu terdiri daripada debu dan batuan permukaan yang mengalami perubahan dalam tempoh lama akibat angin suria, sinaran kosmik galaksi serta hentaman mikrometeorit.
Bahan berkenaan tercampak ke permukaan akibat hentaman roket yang menggali sehingga kira-kira 46 sentimeter di bawah permukaan.
Sementara itu, jaluran lebih cerah yang mengelilingi tebing kawah terdiri daripada bahan baharu yang terkeluar dari lapisan lebih dalam akibat hentaman berkenaan.
Usaha mengenal pasti lokasi kawah itu turut membabitkan pakar angkasa dan peminat astronomi dari seluruh dunia.
NASA berkata, Pusat Kajian Objek Dekat Bumi (CNEOS) secara berperingkat memperincikan trajektori roket sehingga lokasi hentaman dikenal pasti sebelum maklumat itu diserahkan kepada Korea Selatan.
Pasukan Danuri kemudian menghantar koordinat berkenaan kepada pasukan LRO NASA bagi membantu memperhalusi perancangan untuk merakam imej susulan.-AFP

