CAAM perkukuh kawal selia keselamatan penerbangan

Putrajaya: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memperkenalkan langkah kawal selia lebih ketat bagi memperkukuh kecergasan untuk bertugas serta mencegah penyalahgunaan alkohol dan dadah dalam kalangan warga penerbangan yang menjalankan tugas berkaitan keselamatan kritikal.

CAAM memaklumkan langkah itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan dalam memastikan aspek keselamatan, sekuriti dan integriti sistem penerbangan awam Malaysia terpelihara.

Pada 7 Ogos, CAAM mengeluarkan Arahan Keselamatan 02/2026 yang memperkenalkan keperluan lebih ketat terhadap kru penerbangan dan kru kabin yang melaksanakan tugas kritikal keselamatan.

“Antara langkah segera ialah syarikat penerbangan Malaysia dikehendaki menjalankan saringan dadah melibatkan 100 peratus kru penerbangan dan kru kabin yang masih aktif dalam tempoh pelaksanaan ditetapkan.

“Pengendali turut dikehendaki meningkatkan saringan alkohol dan dadah secara rawak serta mengejut, menjalankan saringan segera sekiranya terdapat alasan munasabah untuk mengesyaki seseorang mengalami gangguan akibat pengambilan bahan berkenaan serta meneliti semula proses pengambilan, pengesahan latar belakang dan saringan berkala terhadap petugas yang memegang pas keselamatan,” menurut CAAM dalam kenyataan hari ini.

Menurut CAAM, pengendali juga perlu menjalankan semakan menyeluruh terhadap Program Ujian Alkohol dan Dadah (ADTP), menjalankan penilaian risiko keselamatan berkaitan penyalahgunaan alkohol dan dadah serta mengemukakan pengisytiharan pematuhan, keputusan ujian dan pelan tindakan pembetulan kepada CAAM.

“Keperluan ini disokong menerusi pengawasan CAAM yang dipertingkatkan menerusi pemantauan berasaskan risiko, pemeriksaan secara mengejut dan audit khusus bagi memastikan pelaksanaan keperluan ujian alkohol dan dadah dipatuhi.

“CAAM juga akan membuat pengesahan terhadap rekod ujian dan boleh mengarahkan ujian tambahan sekiranya terdapat kebimbangan berkaitan keselamatan,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Jemaah Menteri meluluskan 17 syor penambahbaikan bagi memperkukuh kawalan keselamatan, saringan serta pengurusan risiko di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pintu-pintu masuk antarabangsa negara.

Sebagai langkah segera, enam tindakan akan diberi keutamaan bagi memperkukuh kawalan keselamatan sedia ada iaitu saringan bersasar berasaskan risiko dengan mempertingkatkan pemeriksaan terhadap penerbangan, penumpang, kru dan bagasi yang dikenal pasti berisiko.

Turut dilaksana adalah saringan dadah terhadap personel penerbangan bagi memperkukuh pelaksanaan saringan prapengambilan, berkala dan rawak terhadap juruterbang, kru kabin serta petugas berkaitan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Kapten Datuk Norazman Mahmud menerusi kenyataan sama berkata langkah diambil itu mencerminkan pendekatan proaktif CAAM dalam menangani risiko baharu serta memperkukuh perlindungan keselamatan di seluruh sektor penerbangan.

“Kesemua langkah ini memperkukuh aspek pengesanan dan pematuhan, selain memupuk budaya yang menjadikan kecergasan untuk bertugas sebagai komponen asas keselamatan penerbangan,” katanya sambil menambah tindakan CAAM itu selaras dengan usaha lebih menyeluruh kerajaan untuk memperkukuh kawalan keselamatan, saringan dan pengurusan risiko di KLIA serta pintu masuk antarabangsa lain.

Menurut kenyataan itu, CAAM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Dalam Negeri serta agensi berkaitan bagi menyokong pelaksanaan langkah berkenaan dalam bidang kuasa kawal selianya.

CAAM juga kekal komited untuk terus memperkukuh rangka kerja kawal selia dan mekanisme pengawasannya bagi memastikan sistem penerbangan awam Malaysia sentiasa selamat, terjamin dan diyakini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top