opie@mediaprima.com.my
Usia bukan penghalang untuk mencipta perubahan adalah mesej yang dibawakan menerusi drama komedi keluarga BOSS KID yang akan bersiaran di slot Lestary TV3 mulai malam ini.
Karya ini mengangkat kisah seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang berjaya mengubah kehidupan keluarganya dengan kreativiti, keberanian dan kebijaksanaan memanfaatkan media sosial.
Bakal bersiaran jam 9 malam setiap Jumaat dan Sabtu, drama bersiri 20 episod ini mengetengahkan elemen kekeluargaan, keusahawanan serta dunia pencipta kandungan digital.
Menampilkan barisan pelakon seperti Syed Irfan, Datuk Fizz Fairuz, Noorkhiriah, Ummar Dzariff dan Qistina Raisah, BOSS KID mengisahkan keluarga Izham yang berdepan cabaran hidup selepas kehilangan sumber pendapatan.
Dalam keadaan serba mencabar, harapan baharu hadir daripada insan yang paling tidak disangka, iaitu anak mereka sendiri.
Petah berkata-kata dan kreatif menghasilkan kandungan digital, Rizqin (Syed Irfan) tidak menyangka minatnya terhadap media sosial menjadi titik perubahan buat keluarganya.
Melihat potensi yang dimiliki anak mereka, Izham (Datuk Fizz Fairuz) dan Rafidah (Noorkhiriah) mengambil keputusan untuk memanfaatkan pengaruh Rizqin bagi mempromosikan perniagaan keluarga, sekali gus melantiknya sebagai ‘Bos Kecik’.
Berbekalkan idea kreatif dan keyakinannya, Rizqin berjaya menarik perhatian ramai sehingga perniagaan Burger Malaysia mula mendapat sambutan.
Namun, gelaran ‘Bos Kecik’ bukan sekadar satu panggilan apabila telatah dan sikapnya yang gemar memberi arahan kepada ahli keluarga mencetuskan pelbagai situasi lucu dalam usaha mereka mengembangkan perniagaan.
Di sebalik kejayaan yang mula dikecapi, keluarga Izham turut berdepan pelbagai cabaran apabila muncul pihak yang tidak senang melihat perkembangan perniagaan mereka.
Persaingan, hasad dengki dan pelbagai rintangan menguji kekuatan mereka dalam mempertahankan perniagaan yang dibina bersama.
Mengulas lanjut, Fizz Fairuz berkata, wataknya mengetengahkan sisi seorang bapa yang sentiasa mahu memastikan keluarganya cekal bertahan dalam menghadapi cabaran hidup.
“Watak Izham bagi saya cukup dekat dengan realiti seorang bapa yang mahu memastikan keluarganya terus bertahan walaupun berdepan tekanan hidup.
“Lebih menarik dalam BOSS KID, orang yang akhirnya menjadi pencetus perubahan bukanlah orang dewasa, tetapi anaknya sendiri.
“Hubungan Izham dengan Rizqin juga banyak memberi ruang kepada elemen komedi, tetapi pada masa sama ada nilai kekeluargaan yang saya rasa penonton boleh kaitkan dengan kehidupan mereka,” katanya.
Menggabungkan elemen komedi, kekeluargaan, keusahawanan dan dunia pencipta kandungan digital, BOSS KID bukan sekadar sebuah drama komedi keluarga, malah membawa mesej bahawa setiap ahli keluarga mempunyai peranan dalam mencipta kejayaan.
Berbekalkan sokongan, kreativiti dan semangat tidak mudah berputus asa, impian besar mampu berkembang lebih luas meskipun ia adalah idea kecil daripada seorang anak.
Mampukah Rizqin dan keluarganya mempertahankan empayar perniagaan yang dibina bersama apabila dilanda badai cabaran serta persaingan sengit?
Penonton juga boleh menstrim episod baharu 24 jam lebih awal di Tonton atau memuat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.
© New Straits Times Press (M) Bhd
