anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Terasing sejauh 30 kilometer dari bandar Semporna, Sabah dengan perjalanan menaiki bot laju ke Pulau Kulapuan mengambil masa hampir sejam.
Di sini warga pulau Kulapuan masih bergelut tanpa bekalan utiliti tetap dan bergantung sepenuhnya pada generator elektrik.
Pulau ini yang tidak sepopular pulau pelancongan Sipadan, Mabul, Kapalai atau Bohey Dulang bagaimanapun dihuni ratusan kanak-kanak dan remaja yang dahagakan ilmu serta bimbingan agama.
Menyedari keperluan itu, pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) diketuai Presidennya, Zulkifli Wahijan bersama bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang juga penasihat syariah MCM, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengadakan misi bantuan terhadap lebih 1,000 penghuni pulau itu baru-baru ini.
Difahamkan program Misi Bakti Hufaz itu turut disertai 31 penuntut Universiti Sains Islam Malaysia-Darul Quran (USIM-DQ).
Kehadiran pasukan misi MCM disambut dengan nyanyian lagu ‘Atouna El Toufoule’ dan sketsa mengenai penderitaan rakyat Palestin oleh kanak-kanak pulau berkenaan.
MCM kemudian menyampaikan 200 pek makanan kepada penduduk pulau itu.
Turut diagihkan ialah 150 naskhah muqadam Iqraq dan 50 naskhah bahan bacaan kanak-kanak yang disumbangkan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia.
Penuntut USIM-DQ pula mengadakan sesi bimbingan kaedah bersuci dan solat secara teori dan amali, selain sesi ramah mesra dengan penduduk kampung.
Selain Pulau Kulapuan, pertubuhan MCM secara aktif turut menyalurkan bantuan ke pulau lain di sekitar perairan Sabah, terutama Pulau Mabul, Pulau Bum Bum dan Pulau Tigabu.
Bentuk bantuan dan sumbangan diberikan merangkumi pelbagai aspek kebajikan, kesihatan dan pendidikan.
MCM turut menghantar pasukan doktor sukarelawan termasuk doktor gigi, untuk membuat pemeriksaan kesihatan secara langsung kepada komuniti pulau.
Pasukan MCM turut menyediakan rawatan asas bagi penduduk yang sukar mendapatkan akses rawatan di daratan selain agihan pek makanan ruji seperti beras, minyak dan barangan kering.
Ini termasuk sumbangan barangan ibadah seperti telekung untuk wanita dan kain pelikat untuk lelaki.
Dalam sudut pendidikan Islam dan dakwah, MCM giat mengadakan program pengajian al-Quran yang menyasarkan kanak-kanak mahupun golongan dewasa di sana.
MCM turut mengagihkan naskhah al-Quran melalui program wakaf untuk kegunaan pembelajaran komuniti.
Turut disumbangkan adalah bot untuk kegunaan pelajar di Pulau Tigabu, Kudat untuk menjalankan aktiviti dan urusan berkaitan pendidikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
