Pelancong Switzerland kutuk Hari Nyepi dipenjara setahun

Denpasar: Akibat menghina upacara suci Hindu Bali, seorang pelancong warga Switzerland dihukum penjara setahun.

Hukuman diputuskan mahkamah semalam selepas mendapati Luzian Andrin Zgraggen, 26, bersalah mengikut kanun jenayah baharu Indonesia.

Pada 20 Mac lalu, lelaki itu ditahan selepas didakwa menyebarkan ucapan kebencian mengenai Hari Nyepi di media sosialnya.

Dalam perkongsian itu Zgraggen didakwa berkongsi pengalaman bersiar di Bali pada hari itu yang dikatakannya agak ‘tenang’.

Pihak berkuasa memaklumkan perkongsian Instagram Zgraggen mengandungi ucapan kebencian atau permusuhan terhadap sesuatu kumpulan atau komuniti berdasarkan agama atau kepercayaan di Indonesia.

Polis memutuskan untuk menamakan Zgraggen sebagai suspek selepas siasatan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Siber Polis Bali, susulan daripada laporan yang dibuat oleh orang awam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top