SHAH ALAM – Kerajaan digesa supaya segera membawa isu pengharaman vape bermula dengan peranti sistem terbuka ke peringkat Jemaah Menteri bagi memastikan langkah berkenaan dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, langkah itu penting bagi menetapkan garis masa yang jelas termasuk mekanisme pelaksanaan serta pelan peralihan sebelum pengharaman vape dilaksanakan secara menyeluruh.
Menurut beliau, ancaman penularan cecair vape yang mengandungi bahan psikoaktif sintetik atau dadah termasuk yang dipasarkan menggunakan istilah seperti ‘Piu Piu’ dan ‘Magic Mushroom’ perlu dikekang segera bagi mengelak lebih ramai golongan muda terjebak.
“ABIM menyambut baik pendirian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menuju pengharaman vape, khususnya peranti sistem terbuka yang mudah dimanipulasi.
“Pada masa yang sama, semua kementerian dan agensi berkaitan perlu memperkukuh penguatkuasaan terhadap larangan sedia ada, khususnya penjualan melalui media sosial, platform digital, pusat hiburan, perkhidmatan penghantaran dan rangkaian pengedar tidak rasmi.
“Mekanisme mengenal pasti, mengelaskan dan mengawal bahan psikoaktif baharu juga perlu dipercepat supaya sindiket tidak terus mengeksploitasi kelompongan perundangan dengan menukar formulasi kimia dan nama pemasaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada Januari lalu, KKM menyasarkan untuk melaksanakan pengharaman vape bermula dengan jenis sistem terbuka tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi berkata, sepanjang tahun lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM merekodkan 108 kes dengan 138 tangkapan membabitkan cecair dadah sintetik.
Namun katanya, hanya sehingga 10 Jun tahun ini, angka tersebut telah mencecah 168 kes dengan 267 tangkapan, sekali gus mengatasi jumlah yang direkodkan sepanjang tahun sebelumnya.
“Perkembangan ini merupakan amaran bahawa sindiket sedang menyesuaikan kaedah pengedaran dadah dengan budaya dan gaya hidup generasi muda,” katanya.
Beliau menambah, ABIM dalam masa sama turut menegaskan, pertimbangan hasil cukai dan kepentingan industri tidak boleh mengatasi tanggungjawab negara untuk memelihara akal, nyawa dan keselamatan rakyat dalam isu berkaitan vape.
Ujarnya, Kerajaan Madani perlu bertindak segera untuk memastikan isu pengharaman vape secara menyeluruh dapat dilaksanakan demi kesejahteraan generasi akan datang.
“Jangan tunggu lebih banyak keluarga kehilangan anak dan lebih ramai orang awam menjadi mangsa sebelum tindakan menyeluruh dilaksanakan,” katanya.
