KUALA LUMPUR: Dalam kesibukan menjalankan tugas sebagai pensyarah, pelakon, Juhara Ayob kini sedang berusaha menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Fakulty Pendidikan yang sudah memasuki tahun keempat.
Menurut Juhara, perjalanan tersebut tidak mudah apabila perlu membiayai pengajiannya sendiri, selain tidak memperoleh cuti belajar seperti sebahagian pensyarah lain.
“Kebanyakan pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang mahu melanjutkan pengajian PhD mempunyai peluang mendapatkan biasiswa dan cuti belajar selama tiga tahun. Tetapi ada syaratnya, iaitu usia mestilah di bawah 45 tahun.
“Saya tidak layak kerana usia sudah melebihi had tersebut. Tetapi disebabkan semangat sendiri, saya fikir sekurang-kurangnya sebelum bersara, saya mahu mempunyai gelaran itu.
“Jadi, saya teruskan juga pengajian menggunakan duit sendiri dan tanpa cuti belajar. Disebabkan itu juga saya sukar untuk mengambil cuti panjang untuk membintangi naskhah berbentuk drama berepisod,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam masa sama, pelakon berusia 55 tahun itu mengakui masa adalah kekangan utama untuk dirinya menyiapkan tesis atau kertas kajiannya kerana turut terikat dengan komitmen terhadap kerjaya dan keluarga.
“Apabila datang ke pejabat, fokus saya adalah kepada kelas dan kerja hakiki. Apabila pulang ke rumah pula, masa diberikan kepada keluarga. Jadi, saya perlu mencari ruang untuk menyiapkan tesis.
“Perjalanan ini memang memerlukan pengorbanan, termasuk tidur lewat. Tetapi pada usia sekarang, saya juga perlu memikirkan soal kesihatan,” jelasnya.
Pun begitu, Juhara enggan terburu-buru untuk menghabiskan pengajiannya, sebaliknya nekad untuk melalui perjalanan itu dengan tenang sehingga selesai.
“Saya sekarang sudah masuk tahun keempat kerana melakukannya mengikut kelapangan masa. Saya buat perlahan-lahan, tetapi sudah berjanji dengan diri sendiri bahawa pengajian ini mesti diselesaikan.
“Kalau orang yang lebih muda boleh habiskan dalam tempoh tiga tahun, tidak mengapa kalau saya mengambil masa empat atau lima tahun. Yang penting, saya mesti habiskan. Lambat tidak mengapa, janji habis,” kongsinya.
Ditanya mengenai kerinduannya untuk kembali ke dunia seni, dia memilih pentas teater sebagai medan untuk terus berkarya demi melepaskan gian dalam bidang lakonan.
“Sebenarnya, untuk mengisi rasa rindu terhadap bidang lakonan, sebab itulah saya terlibat dengan teater. Saya masih dapat berlakon dan minat itu tidak pernah hilang.
“Kalau saya tidak dapat berlakon di televisyen, sekurang-kurangnya saya masih boleh berlakon di pentas teater. Kadang-kadang saya geram juga menonton watak-watak yang semakin menarik di kaca televisyen.
“Lagi pun pelakon-pelakon baharu sekarang bukan sahaja mempunyai rupa paras, tetapi juga bakat semula jadi yang sangat bagus.
“Dahulu, kami mengambil masa yang agak lama untuk belajar dan memahirkan diri dalam lakonan. Tetapi sekarang, ramai pelakon baharu memang sudah mempunyai bakat yang baik,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Juhara Ayob bakal muncul dalam pementasan teater Tomyam Berdarah terbitan CTRA Production diPanggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada 28 sehingga 30 Ogos ini.

