IPOH: Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku membabitkan pegawai dan anggotanya, termasuk 10 anggota yang dikaitkan dengan dakwaan pemerasan di Pulau Pinang.
Pemangku Komander Briged Utara, Asisten Komisioner Jafri Muhamad berkata, pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan kes berkenaan
Katanya, selain siasatan daripada aspek jenayah yang dijalankan Polis Pulau Pinang, siasatan dalaman dari sudut tatatertib turut dimulakan di peringkat Briged Utara selaras dengan arahan pucuk pimpinan.
“Kita akan beri kerjasama sepenuhnya dari segi siasatan jenayah dan dari segi siasatan dalaman pun kita sudah mula.
“Sebagaimana kehendak pucuk pimpinan, kita tidak akan berkompromi. Peringkat Briged Utara juga tidak akan berkompromi dengan salah laku mana-mana pegawai dan anggota,” katanya dalam sidang akhbar kejayaan Operasi Gali Mega di Ibu Pejabat PGA Ulu Kinta, di sini hari ini.
Menerusi laporan media, pegawai polis berpangkat Inspektor antara 10 anggota PGA yang ditahan berkaitan kes pemerasan sebuah kilang sisa elektronik e-waste di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Rabu lalu.
Kesemua pegawai dan anggota berusia antara 30 hingga 40 tahun itu bertugas di Batalion 2 PGA, Kulim, Kedah.
Mereka telah direman selama sehari sebelum dilepaskan semalam dengan jaminan polis. – UTUSAN


