Ancaman Scam Membimbangkan, Lebih 5,900 Laporan Polis Dalam 4 Bulan Pertama 2026

Ancaman penipuan dalam talian atau scam terus menunjukkan trend membimbangkan apabila 5,944 laporan polis direkodkan dalam tempoh empat bulan pertama 2026, dengan penipuan e-dagang mencatat jumlah kes tertinggi.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, berdasarkan data Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), sebanyak 2,566 kes membabitkan penipuan e-dagang, diikuti 1,369 kes penipuan telekomunikasi, selain pinjaman tidak wujud, pelaburan palsu dan penipuan e-kewangan.

“Ancaman scam kini berada pada tahap yang amat membimbangkan. Berdasarkan data daripada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), sebanyak 5,944 laporan polis telah direkodkan dalam tempoh empat bulan pertama tahun 2026 sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Negeri Johor di Johor Bahru, hari ini.

Menurut Nie Ching, internet kini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian untuk pendidikan, perhubungan dan hiburan, namun pengguna pada masa sama berdepan ancaman seperti buli siber, eksploitasi serta jenayah penipuan dalam talian.

Bagamanapun katanya, dari segi perundangan, Malaysia sudah bergerak amat maju ke hadapan.

“Kita telah meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) pada Disember 2024, dan kita juga telah menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

“Malah, bagi memastikan platform-platform seperti Meta dan penyedia perkhidmatan lain lebih bertanggungjawab, kita tambah penguatkuasaan menerusi Kod Perlindungan Kanak-kanak (Child Protection Code – CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (Risk Mitigation Code – RMC) di bawah kerangka ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata cabaran utama kini adalah memastikan platform digital memberikan kerjasama serta mematuhi undang-undang negara, termasuk berdepan tindakan tegas dan denda kewangan berat sekiranya berlaku pelanggaran.

Dalam usaha memperkukuh perlindungan pengguna, Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan inisiatif ‘Tunggu16’ yang mewajibkan kawalan ibu bapa bagi aktiviti akaun media sosial kanak-kanak di bawah umur 16 tahun.

Pada masa sama, Kempen Internet Selamat yang dilaksanakan sejak Januari 2025 memberi tumpuan meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya kanak-kanak dan keluarga, mengenai keselamatan Internet serta perlindungan daripada ancaman dan jenayah siber.

Sehingga 31 Julai 2026, sebanyak 13,450 program dilaksanakan di seluruh negara dengan penyertaan 2,190,104 peserta terdiri daripada murid, guru, komuniti dan pelbagai pihak berkepentingan.

Program itu merangkumi sekolah rendah dan menengah, institusi pengajian tinggi (IPT), kolej, Institut Pendidikan Guru (IPG) serta program awam dan komuniti, dengan kelompok terakhir mencatat penyertaan terbesar iaitu 1,674,953 peserta menerusi 3,138 program.

Nie Ching berkata, meskipun kerajaan terus memperkukuh undang-undang dan sistem keselamatan, keluarga serta sekolah kekal sebagai benteng utama dalam melindungi kanak-kanak daripada ancaman digital.

“Ibu bapa tidak perlu menjadi pakar IT untuk melindungi anak-anak. Cukuplah sekadar menjadi pendengar yang peka dan hadir dalam kehidupan digital mereka.

“Tanyakan aplikasi yang mereka gunakan, siapa rakan dalam talian mereka dan bina suasana komunikasi terbuka di mana anak-anak tidak takut untuk mengadu sekiranya mereka diganggu atau diancam.

“Pendekatan kita mesti beralih daripada sekadar “melarang” kepada “mendidik dan membimbing”. Kita ingin melahirkan generasi celik digital yang mempunyai ketahanan moral dan kebijaksanaan menilai risiko,” katanya.

Johor merupakan lokasi keempat penganjuran siri Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 anjuran Yayasan GoStrong Malaysia dan MCMC, sebelum usaha itu diteruskan ke Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat.

KREDIT GAMBAR: BERNAMA


Scroll to Top