JAGUH Muay Thai negara, Johan Ghazali mengakui kagum dengan mentaliti serta keyakinan yang dipamerkan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi ketika beraksi di atas padang.
Johan yang mesra disapa Jojo berkata, keyakinan Arif Aiman jelas terserlah setiap kali pemain itu mengawal bola dalam aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Sumbangsih) menentang Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat.
“Saya fikir dari segi keyakinan dan selepas tengok mereka main, Arif Aiman (keyakinan) memang mengagumkan. Saya boleh nampak setiap kali menyentuh bola dan dengan aura beliau lagi,” katanya.

Johan (kiri) hadir ke Stadium Sultan Ibrahim sebagai tetamu Tunku Mahkota Ismail. Foto FB Johan ‘Jojo’ Ghazali
Dalam perlawanan itu, Arif Aiman turut diberi kepercayaan menggalas tugas sebagai kapten JDT, yang kemudian muncul juara Piala Sumbangsih selepas menewaskan Kuching City 3-0.
Johan hadir menyaksikan perlawanan berkenaan sebagai tetamu Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan menzahirkan penghargaan atas jemputan berkenaan.
“Menjunjung kasih Tuanku atas jemputan dan kemesraan yang mengagumkan. Tahniah juga kepada JDT atas rekod dunia. Ini jelas menunjukkan tahap sebenar (pasukan) dalam perlawanan ini,” catat beliau menerusi Instagram.
Selepas tamat perlawanan, Johan turut beramah mesra dan bergambar bersama Tunku Ismail, Arif Aiman serta penyokong di stadium.