am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Polis sedang mengesan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Depo Tahanan Imigresen Tanah Merah, dekat sini, pagi hari ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya sudah menjalankan Op Tutup sejak pagi hari ini di sekitar Tanah Merah dan daerah sekitarnya.
“Kejadian berlaku pada 3 pagi dan sudah buat hebahan untuk jalankan Op Tutup di kawasan Tanah Merah bagi cari dan tangkap semula semua PATI itu,” katanya, di sini, hari ini.
Kesemua 10 PATI yang melarikan diri adalah tujuh warga Thailand, manakala masing-masing seorang adalah warga Indonesia, Bangladesh serta Rohingya.
Kesemua PATI terbabit dipercayai memakai pakaian berwarna hijau terang (baju Depo Imigresen) dan dilaporkan berkepala botak dengan lokasi terakhir dikesan adalah di Bukit Tebu, Tanah Merah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Tanah Merah di talian 099556222 dan Balai Polis Tanah Merah (099556223).
Orang awam juga dinasihatkan supaya tidak mengambil sebarang tindakan sendiri dan menyerahkan urusan kepada pihak berkuasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd

