Kuala Lumpur: Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Muhammad Naim Al Amin terus diberi kepercayaan menerajui badan induk e-sukan negara itu selepas dipilih mengekalkan jawatan berkenaan bagi penggal 2026-2029 pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) hari ini.
Selain Muhammad Naim, beberapa lagi barisan kepimpinan turut dikekalkan bagi meneruskan perancangan persatuan.
Afiq Fadhli Narawi kekal sebagai Timbalan Presiden, manakala Mohamad Khir Md Noor menggalas tugas Naib Presiden 1 dan Muhammad Faries Faizal Shamsul sebagai Naib Presiden 2.
Muhammad Naim berkata keputusan mengekalkan status quo kepimpinan dibuat secara sebulat suara selepas mengambil kira agenda lebih besar yang menanti MESF, termasuk persiapan menghadapi Sukan Asia tahun ini dan Sukan SEA 2027 di Sarawak.
“Kita mengambil kira agenda yang lebih besar, iaitu Sukan Asia pada tahun ini dan juga pada tahun depan kita sebagai tuan rumah Sukan SEA yang akan berlangsung di Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat itu.
Beliau berkata, barisan kepimpinan memilih untuk mengetepikan kepentingan peribadi selain mengelakkan pertandingan merebut jawatan bagi memastikan perjalanan serta perancangan persatuan tidak terjejas.
Menurutnya, kesinambungan kepimpinan itu penting bagi memastikan segala agenda yang dirangka dapat dilaksanakan dengan baik terutama menjelang kejohanan besar yang bakal dihadapi.
Dalam pada itu, Muhammad Naim berkata MESF kekal komited untuk menjadikan Malaysia sebagai antara kuasa e-sukan utama di Asia Tenggara, selain membina ekosistem yang mampu melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia.
Katanya, pembangunan e-sukan negara perlu bergerak lebih jauh daripada sekadar melahirkan pemain hebat, sebaliknya membentuk ekosistem menyeluruh yang menyediakan peluang kepada pelbagai bidang berkaitan.
“Kita mahu melihat e-sukan Malaysia bergerak daripada sekadar menghasilkan pemain yang hebat kepada pembentukan ekosistem yang mampu melahirkan atlet, jurulatih, pengurus, penganalisis dan tenaga profesional yang bertaraf antarabangsa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
