am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Seorang bekas anggota penguat kuasa sebuah jabatan kerajaan yang memiliki 106 rekod jenayah dan dadah serta bertindak sebagai ‘pembantu’ kepada sindiket mencuri pikap dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Mohd Azri Mohd Kassim, 45, yang juga penganggur mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama seorang lagi rakan sejenayah yang masih bebas didapati mencuri pikap Toyota Hilux milik sebuah syarikat di tempat letak kenderaan Taman Ceria, di sini, 7.05 petang, 11 Ogos lalu.
Berikutan itu, Mohd Azri bakal berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.
Berdasarkan laporan, pengadu yang juga pekerja syarikat terbabit meletakkan pikap di belakang sebuah hotel kerana masuk ke pasar bersama rakan.
Selesai membeli, pengadu bersama rakan bergerak pulang dan terkejut apabila mendapati dua lelaki tidak dikenali berada dalam kenderaannya.
Pengadu dan rakan berjaya menahan tertuduh manakala seorang lagi berjaya melarikan diri. Pengadu kemudian menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
Tertuduh bersama rakannya menyasarkan Toyota Hilux sebelum kenderaan itu dibawa ke sempadan untuk dijual.
Semakan mendapati, tertuduh memiliki rekod jenayah berkaitan curi kenderaan di sekitar Lembah Klang dan baru beberapa hari direkrut oleh dalang utama sindiket ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahzleen Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam Mehnagha Luckhmana.
Tiada tawaran ikat jamin dibenarkan kepada tertuduh dan kes disebut semula pada 9 Oktober ini untuk serahan dokumen.
© New Straits Times Press (M) Bhd
