am@hmetro.com.my
Shah Alam: Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan kejadian jenayah atau insiden tular menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi membolehkan tindakan pantas diambil, berbanding sekadar menyebarkannya di media sosial.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin berkata penggunaan VSP dapat membantu polis menerima maklumat secara lebih cepat dan selamat, sekali gus membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dengan lebih berkesan.
“Masyarakat sepatutnya menggunakan saluran VSP, memang aduan dahulu dibuat secara fizikal di balai, namun platform media sosial hari ini menuntut kita bekerja lebih keras dan proaktif.
“Arahan pucuk pimpinan PDRM amat jelas supaya isu tular ditangani cepat dan proaktif demi keselamatan awam.
“Biasanya, aplikasi VSP kerap digunakan untuk makluman balik kampung sewaktu musim perayaan sedangkan ia boleh juga digunakan untuk melapor kes lain dan kita galakkan masyarakat mendaftar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor SUKSIS Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kali Ke-10 Tahun 2026 di UiTM, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dan Komandan Kor SUKSIS UiTM, Prof Dr Mohd Sazli Sahibi.
Beliau berkata, berkata unit khas PDRM sentiasa memantau penularan maklumat di pelbagai platform digital bagi memastikan tiada persepsi pihak penguat kuasa tidak bertindak balas terhadap isu keselamatan semasa.
“Penggunaan aplikasi VSP secara meluas bukan sahaja membolehkan laporan disalurkan dengan telus, malah membantu pihak penguat kuasa bertindak tepat pada masanya,” katanya.
Beliau berkata PDRM akan terus memperkasakan promosi pendaftaran aplikasi VSP di seluruh negara bagi memastikan saluran komunikasi interaktif antara polis dan masyarakat dapat dimaksimumkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

