PETALING JAYA: Skuad hoki kebangsaan bakal mengulangi pencapaian pada penampilan terdahulu apabila dijangka menamatkan kempen Piala Dunia 2026 dalam aksi kedua tercorot.
Sasaran awal untuk mara ke suku akhir kejohanan gagal direalisasikan selepas Malaysia hanya mampu mencatatkan dua keputusan seri daripada lima perlawanan yang telah dilalui.
Dua keputusan seri itu hadir ketika Malaysia mengikat Perancis 3-3 dalam aksi peringkat kumpulan sebelum mencatat keputusan sama ketika menentang Afrika Selatan dalam perlawanan klasifikasi Kumpulan H.
Pencapaian tersebut meletakkan Malaysia beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ke-15 iaitu kedudukan kedua tercorot pada Jumaat ini.
Kedudukan ketua jurulatih negara, Brendon Carolan bagaimanapun tidak menjadi persoalan susulan kegagalan mencapai sasaran suku akhir, memandangkan Piala Dunia bukan sasaran utama pengendali dari Afrika Selatan itu.
Sebaliknya, matlamat utama Carolan adalah di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan sasaran membimbing Malaysia meraih pingat emas yang akan menjadi tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Carolan mengakui kedudukan semasa bukanlah sesuatu yang diinginkan, namun menegaskan skuad negara menunjukkan perkembangan positif dengan berjaya merapatkan jurang berbanding pasukan yang berada di kelompok teratas dunia.
“Sekali lagi, itu bukan kedudukan yang kami mahukan. Saya rasa kami telah bertambah baik dan kami telah merapatkan jurang dengan pasukan-pasukan besar.
“Tetapi bagi kami, ini adalah program jangka panjang untuk memastikan kami bertambah baik menentang pasukan-pasukan di kedudukan 10 hingga 16 dunia.
“Kami mahu terus merapatkan jurang dengan 10 pasukan terbaik dunia dan menjadi lebih baik secara keseluruhan sebagai satu program,” katanya.
Sebagai rekod, Malaysia sebelum ini menamatkan saingan Piala Dunia 2024 di kedudukan tercorot kemudian di tangga ke-15 pada edisi 2018 sebelum menamatkan kempen edisi 2023 di tempat ke-13. – UTUSAN

