Polis didakwa tutup kes, empat individu hilang ditemukan mati

Polis didakwa tutup kes, empat individu hilang ditemukan mati

JEJU – Empat individu yang dilaporkan hilang ditemukan meninggal dunia dalam tempoh tiga hari di Pulau Jeju, Korea Selatan ketika polis berdepan kontroversi susulan dakwaan seorang anggotanya memalsukan penutupan kira-kira 200 kes orang hilang.

Memetik laporan Korea JoongAng Daily, penemuan terbaharu pada Isnin membabitkan seorang wanita berusia 37 tahun, Jang Mi-ran yang dilaporkan hilang pada 15 Mei lalu.

Mayat Jang ditemukan kira-kira jam 10.46 pagi berhampiran sebuah ladang palma di Hallim-eup selepas 104 hari dilaporkan hilang.

Kes berkenaan menjadi perhatian selepas siasatan mendapati anggota polis yang mengendalikan laporan kehilangan Jang disyaki menutup kes berkenaan secara palsu.

Anggota polis dikenali sebagai Bu berusia lingkungan 30-an didakwa memberitahu keluarga Jang bahawa dia sudah menghubungi wanita itu dan dimaklumkan Jang tidak mahu berhubung dengan keluarganya.

Bagaimanapun, semakan rekod komunikasi mendapati tiada bukti hubungan berkenaan pernah berlaku, menyebabkan siasatan terhadap tindakan anggota polis itu diperluaskan.

Pada hari sama, satu lagi mayat dipercayai milik individu yang dilaporkan hilang ditemukan berhampiran kawasan lembah di Aewol-eup, Jeju City kira-kira jam 9.35 pagi.

Pada Ahad lepas, mayat seorang lelaki dipercayai berusia 70-an ditemukan di perairan berhampiran Sinheung-ri, Jocheon-eup, Jeju City kira-kira jam 3.04 petang.

Mayat itu ditemukan seorang pemancing yang kemudian menghubungi perkhidmatan kecemasan.

Pengawal Pantai Jeju mengesahkan lelaki berkenaan telah dilaporkan hilang kepada Balai Polis Jeju Dongbu pada Sabtu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca serta keadaan kematiannya.

Seorang lelaki berusia 60-an yang dilaporkan hilang pada 2 Julai ditemukan meninggal dunia di Songdang-ri, Gujwa-eup kira-kira sehari sebelumnya pada Sabtu

Kes lelaki itu turut dikendalikan Bu yang didakwa menggunakan alasan sama kepada keluarganya sebelum laporan berkenaan ditutup dan dikeluarkan daripada sistem kehilangan.

Keluarga lelaki berkenaan membuat laporan kehilangan kali kedua pada Jumaat, sebelum polis melancarkan operasi mencari dan menemukan mayatnya sehari kemudian.

Polis didakwa tutup kes, empat individu hilang ditemukan mati

Pegawai polis dikenali Bu dibawa dari Balai Polis Dongbu Jeju pada Ahad selepas ditahan kerana disyaki menutup kes orang hilang secara palsu. Foto: Yonhap

Sementara itu, kontroversi berhubung pengendalian kes kehilangan terbabit mencetuskan desakan supaya prosedur polis diteliti semula di seluruh Korea Selatan.

Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung pada Isnin mengarahkan siasatan menyeluruh terhadap pengendalian kes berkenaan, selain semakan lebih luas terhadap prosedur penutupan kes kehilangan dan sistem penyeliaan anggota polis.

Jurucakap presiden, Kang Yu-jung berkata, presiden turut mengarahkan polis menyediakan pelan reformasi termasuk penambahbaikan institusi atau langkah pembaharuan yang lebih menyeluruh.

Pemangku Pesuruhjaya Agensi Polis Negara, Yoo Jae-seong turut memohon maaf atas pengendalian kes Jang.

Dalam perkembangan berkaitan, polis Seoul memulakan semakan terhadap kira-kira 92,800 laporan kehilangan yang difailkan dan kemudian ditutup di ibu negara itu antara Januari 2024 hingga bulan ini.

Semakan itu bertujuan menentukan sama ada terdapat kes yang ditutup tanpa pengesahan mencukupi mengenai keberadaan atau keselamatan individu terbabit.

Di Jeju pula, polis sedang menyemak kes kehilangan lain yang pernah dikendalikan Bu bagi menentukan sama ada terdapat kes yang turut ditutup secara tidak wajar.

Bu telah ditahan atas dakwaan mengabaikan tugas, memalsukan rekod rasmi elektronik dan menggunakan rekod palsu.

Bagaimanapun, Mahkamah Daerah Jeju pada Isnin memerintahkan beliau dibebaskan selepas membenarkan permohonan semakan kesahan penahanannya kerana mendapati tiada keperluan mendesak untuk beliau terus ditahan.

Siasatan turut menimbulkan persoalan mengenai operasi mencari Jang apabila mayat dipercayai miliknya ditemukan kira-kira 400 meter dari penginapan tempat dia tinggal.

Polis dilaporkan hanya mula menyemak rakaman kamera litar tertutup di kawasan Hallim-eup kira-kira 98 hari selepas laporan kehilangan pertama dibuat, sekali gus menyebabkan sebahagian rakaman yang lazimnya disimpan sekitar 30 hari telah dipadam.

Selepas laporan kehilangan Jang dibuat semula pada minggu lalu, polis mengerahkan purata 140 anggota sehari untuk operasi mencari berdasarkan data lokasi telefon bimbit.

Lokasi pencarian tertumpu di sekitar Pelabuhan Hallim, yang lebih jauh daripada lokasi mayat wanita itu akhirnya ditemukan.

Polis menjelaskan kawasan mayat ditemukan masih berada dalam lingkungan liputan stesen pangkalan telefon bimbit yang digunakan untuk operasi pencarian di sekitar pelabuhan berkenaan.

Scroll to Top