Liverpool: Legenda Liverpool, Jamie Carragher mendakwa kelab itu mungkin mempunyai jendela perpindahan terburuk dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL).
Liverpool hanya mampu seri 2-2 ketika bertandang ke Newcastle pada aksi pembukaan musim, dengan Dominik Szoboszlai menyelamatkan satu mata menerusi gol penyamaan daripada sepakan penalti pada sentuhan terakhir perlawanan dalam aksi pertama Andoni Iraola sebagai pengurus.
Bagaimanapun, beberapa pemain yang dijangka tampil lebih baik musim ini mempamerkan aksi mengecewakan ketika menentang Newcastle.
Antaranya pemain termahal kelab, Alexander Isak dan Florian Wirtz, selain dua bek sayap Milos Kerkez dan Jeremie Frimpong yang semuanya menyertai Liverpool pada musim panas 2025.
Mereka turut disertai penjaga gol Giorgi Mamardashvili, Hugo Ekitike dan Giovanni Leoni dengan jumlah keseluruhan perbelanjaan mencecah £445 juta (RM2.44 bilion) dalam jendela perpindahan terakhir Arne Slot sebagai pengurus kelab.
Mamardashvili pula dilihat kurang meyakinkan ketika menggantikan Alisson, manakala Ekitike dan Leoni terlepas aksi awal musim ini kerana kecederaan.
Bercakap dalam rancangan Monday Night Football Sky Sports, Carragher berkata: “Saya bimbang melihat Liverpool. Saya tahu ini baru perlawanan pertama musim ini, tetapi jendela perpindahan ini (2025) mungkin menyebabkan Liverpool ketinggalan satu atau dua tahun.
“Kita bercakap mengenai 12 bulan prestasi di bawah tahap sebenar daripada semua pemain ini kecuali Ekitike.
“Jika keadaan ini tidak berubah dalam tempoh dua atau tiga bulan di bawah Iraola dan pemain-pemain ini tidak bertambah baik, saya rasa kita boleh mengatakan ini antara jendela perpindahan terburuk dalam sejarah EPL,” katanya.
“Pemain-pemain ini sepatutnya melakukan apa yang dilakukan Manchester City beberapa tahun lalu atau Manchester United pada masa lalu, iaitu memenangi dua atau tiga kejuaraan dalam tempoh lima tahun.”
Pemain yang direkrut musim lalu membantu Liverpool menamatkan saingan liga di tempat kelima.
Namun, selain Ekitike yang menjaringkan 17 gol dalam 45 penampilan semua pertandingan sebelum mengalami kecederaan ACL, Wirtz, Isak, Frimpong dan Kerkez hanya menghasilkan 15 gol secara keseluruhan.
Liverpool turut menambah pertahanan Jérémy Jacquet dan pemain sayap Victor Munoz pada musim panas ini, selain mendapatkan Ronald Araujo secara pinjaman daripada Barcelona.
© New Straits Times Press (M) Bhd

