PETALING JAYA: TNG Digital Sdn. Bhd., pengendali TNG eWallet, bekerjasama dengan GXBank bagi memperluas akses pembiayaan menerusi kemudahan kredit pusingan FlexiCredit yang kini ditawarkan melalui CashLoan dalam aplikasi berkenaan.
Kerjasama itu membolehkan jutaan pengguna TNG eWallet memohon pembiayaan terkawal tanpa perlu membuka akaun bank baharu, sekali gus memudahkan akses kepada kemudahan kredit terutama bagi golongan yang mempunyai sejarah kredit terhad.
Ketua Pegawai Perkhidmatan Kewangan TNG Digital, Desmond Teoh berkata, TNG eWallet yang pada asalnya dibangunkan sebagai platform pembayaran kini berkembang menjadi platform pengurusan kewangan harian bagi jutaan rakyat Malaysia.
“Strategi platform terbuka kami adalah untuk membawa penyelesaian kewangan terbaik daripada rakan kongsi dipercayai seperti GXBank supaya lebih mudah diakses semua.
“Inklusi kewangan sebenar berlaku apabila institusi bergabung untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia di platform yang sudah mereka gunakan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GXBank, Kaushik Chowdhury berkata, FlexiCredit direka bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia dalam mendapatkan akses kredit untuk kegunaan harian.
Katanya, integrasi kemudahan itu ke dalam TNG eWallet bukan sahaja mengubah cara rakyat mendapatkan kredit, malah memperluas golongan yang boleh mengakses pembiayaan.
“Tiada dokumen yang panjang diperlukan dan kelulusan boleh diberikan dalam tempoh beberapa minit. Bagi pengguna TNG eWallet, mereka juga tidak perlu membuka akaun bank berasingan.
“Pada masa ini, rakyat Malaysia menggunakan FlexiCredit bagi menghadapi kecemasan, mengurus aliran tunai dan membuat pembelian besar,” katanya.
Berbeza dengan pinjaman konvensional, FlexiCredit merupakan kemudahan kredit pusingan yang membolehkan pengguna menggunakan had kredit yang diberikan apabila diperlukan tanpa perlu membuat permohonan baharu setiap kali.
“Apabila bayaran balik dibuat, had kredit akan tersedia semula, sekali gus membolehkan pengguna mengurus pinjaman berdasarkan aliran tunai masing-masing.
“FlexiCredit menawarkan had kredit sehingga RM150,000 dengan tempoh bayaran balik antara enam hingga 60 bulan serta kadar faedah rata bermula 3.78 peratus setahun, bersamaan kadar faedah efektif (EIR) 6.45 peratus setahun.
“Kerjasama itu turut selari dengan strategi TNG Digital membangunkan ekosistem kewangan terbuka dengan menghimpunkan penyelesaian kewangan daripada pelbagai institusi dalam satu platform,” katanya.
Melalui GOfinance, pengguna TNG eWallet boleh mendapatkan akses kepada pelbagai perkhidmatan kewangan termasuk pelaburan, insurans, kredit dan kiriman wang.
Langkah itu dijangka terus memperluas penggunaan perkhidmatan kewangan formal dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk komuniti yang masih kurang mendapat akses kepada kemudahan pembiayaan. – UTUSAN

