sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kapten skuad sepak takraw negara, Farhan Adam memburu pingat emas acara regu dan berpasukan di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, bulan depan kerana ia kemungkinan penampilan terakhirnya di temasya itu.
Menurut Farhan, usianya kini sudah 37 tahun dan tempoh empat tahun untuk menanti edisi Sukan Asia seterusnya membuatkan dia tidak yakin mampu beraksi lagi pada temasya berkenaan.
“Semestinya Sukan Asia empat tahun sekali, jad fokus saya pada Sukan Asia ini dulu. Insya-Allah kalau pingat emas dapat direalisasikan, saya rasa tidak dapat nak tunggu untuk Sukan Asia seterusnya.
“Semestinya Sukan Asia ini yang terakhir untuk saya,” katanya yang akan membuat penampilan kali keempat di temasya berkenaan.
Mengulas peluang Malaysia khususnya dalam acara berpasukan, Farhan percaya skuad negara kini berada pada tahap lebih baik dengan pemain tidak lagi gentar berdepan Thailand yang selama ini dianggap kuasa besar sepak takraw dunia.
“Peluang memang lebih cerah untuk pasukan Malaysia sebab pemain semua sangat yakin dan pada saya mereka tidak mempunyai perasaan takut.
“Sebelum ini, kita tahu apabila dengar pasukan Thailand saja, kita sudah agak gerun.
“Sekarang ini saya nampak pemain tidak lagi meletakkan Thailand di atas dan merasakan kami berada pada tahap sama. Jadi tinggal lagi pada hari kejohanan untuk kami mencari kemenangan,” katanya.
Mengenai persiapan menjelang temasya itu yang berbaki kira-kira dua minggu lagi, Farhan berkata, semua pemain berada dalam keadaan bersedia selepas hampir dua minggu menjalani latihan bersama di kem kebangsaan.
Pada edisi Sukan Asia Hangzhou 2022, Malaysia meraih dua pingat perak menerusi acara regu dan regu berpasukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

