Impian jejak semula ke pulau ini

nazarali@hmetro.com.my

SEAWAL jam 5 pagi, penulis dan keluarga, disertai anggota keluarga lain, bergerak dari Shah Alam, Selangor, ke Besut, Terengganu dengan destinasi dituju ialah Pulau Perhentian.

Kami singgah di sebuah stesen minyak di Bentong, Pahang untuk menunaikan solat Subuh sebelum meneruskan perjalanan tanpa halangan.

Kami tiba di inap desa di Kampung Pengkalan Nyireh, Besut, kira-kira jam 1 petang, dan pada hari pertama itu, masa hanya dihabiskan di inap desa berkenaan dengan memasak serta berehat akibat kepenatan.

Pengembaraan Bermula

Hari kedua, seawal jam 7 pagi, kami, seramai 18 orang membabitkan empat keluarga bergerak ke Jeti Kuala Besut untuk menaiki bot disewa ke Pulau Perhentian.

Tiba di jeti, ramai pelancong, dari Eropah dan pelbagai negara lain, turut sudah tiba untuk menaiki bot masing-masing.

Lokasi di sekitar jeti juga meriah dengan sebahagian besar gerai, kafe serta restoran sudah beroperasi dengan menyediakan juadah pagi.

Kami menunggu sekitar setengah jam sebelum bot tiba.

Selepas semuanya menaiki bot dan memakai jaket keselamatan, pengendali bot yang hanya dikenali sebagai ‘Remy’ memaklumkan yang perjalanan mengambil masa antara setengah jam hingga 45 minit.

Keluar sahaja daripada jeti, bot terus memecut membelah ombak. Ketika itu, selain deruan enjin bot, hanya ketawa atau jeritan yang boleh didengari.

Apa tidaknya, setiap kali bot membelah ombak, ia umpama ‘terbang’ sebelum ‘terhempas’ dan berulang-ulang sepanjang perjalanan berkenaan.

Ganti Bot

Sebaik tiba di Pulau Perhentian, kami menaiki sebuah lagi bot yang sedia menunggu.

Kali ini, pengendalinya, hanya mahu dikenali sebagai ‘Ismail’, memaklumkan yang cuaca sangat baik dan rombongan akan dibawa ke destinasi pertama iaitu Teluk Keke.

Tiba di Teluk Keke, Ismail memberi taklimat ringkas bagaimana mahu melakukan aktiviti snorkeling.

Selepas itu, kami berlatih untuk melakukannya dan ketika itu, ramai yang ‘tenggelam timbul’ dan pelbagai lagi ‘aksi menghiburkan’ memandangkan hampir kesemuanya tidak pernah melakukan aktiviti snorkeling.

Kejar Penyu

Selepas kira-kira 45 minit, kami bergerak ke ‘Turtle Point’. Menurut Ismail, di lokasi ini, pengunjung berpeluang melihat penyu di kawasan berhampiran pantai.

“Dengan menggunakan peralatan snorkeling, kawanan penyu ini boleh dilihat dengan jelas.

“Namun, ada kalanya, penyu akan menjauh jika ada yang cuba menyentuhnya, atau mungkin ia rasa terancam,” katanya.

Ismail turut berpesan untuk tidak memberi penyu makanan kerana ia dibimbangi boleh merosakkan ekosistem kerana penyu yang sentiasa diberi makan akan berdepan masalah untuk mendapatkan makanan sendiri.

“Jika kerap diberi makanan, apabila tiba musim monsun, penyu akan berdepan masalah untuk mencari makanan sendiri,” katanya.

Di Turtle Point ini, ‘satu bot’ terjun untuk menyaksikan kawanan penyu yang berada di dasar laut.

Ramai yang berenang secara berkawan untuk ke lokasi sasaran yang sudah disahkan oleh Ismail. Untuk rekod, Ismail terjun terlebih dahulu untuk ‘memetakan’ kedudukan penyu sebelum memaklumkan kepada kami.

Di lokasi ini, kanak-kanak yang paling gembira kerana penyu boleh dilihat dengan jelas, selain air laut pula tenang, seterusnya memudahkan mereka untuk berenang dan sebagainya.

Selepas penat mengejar penyu, kami dibawa ke ‘Coral dan Fish Garden’. Di lokasi ini, kami mengisi perut dengan makanan seperti ayam gunting, mi segera selain tekak dibasahkan dengan air kelapa.

Kami tidak lama di sini, kurang setengah jam kemudian, kami bergerak ke lokasi ‘menyeramkan’.

‘Buru’ Jerung Pula

Selepas mengejar penyu, perut pun sudah kenyang, rombongan bergerak ke lokasi yang mendatangkan sedikit rasa misteri iaitu ‘Shark Point’.

Adakah jerung di lokasi ini sebesar jerung dalam filem ‘Jaws’? atau cukup bahaya hingga menyerang manusia?

Jawapannya ialah tidak.

Jerungnya bersaiz kecil dan dalam kalangan rombongan kami, sebahagian besarnya dapat melihat pemangsa itu.

Bagaimanapun, di lokasi ini, laut agak bergelora namun semuanya diawasi oleh Ismail serta pengendali bot pelancong lain yang turut ada di lokasi.

Untuk rekod, pengendali bot juga akan terjun bersama-sama dengan anggota rombongan yang melakukan aktiviti laut bagi memastikan keselamatan mereka dan sebagainya.

Selepas Shark Point, kami bergerak ke ‘Long Beach’ untuk makan tengah hari selain aktiviti pantai. Kami berehat kira-kira sejam sebelum dijemput pulang.

Perjalanan pulang ke Jeti Besut tidak menunjukkan wajah ceria dalam kalangan ahli rombongan kerana kesemuanya sudah penat, selain ada yang mengalami pening, loya dan sebagainya.

Kami tiba di Jeti Besut jam 4 petang. Sebelum pulang, kami mengucapkan terima kasih kepada Ismail dan rakan-rakannya yang banyak membantu mempermudahkan urusan ‘pengembaraan’ kami kali ini.

Walaupun untuk tempoh sekejap, pengembaraan kali ini cukup mengujakan, daripada inap desa cantik serta bersih, keramahan pengendali bot juga masyarakat serta peniaga tempatan, kami tidak berdepan sebarang masalah sepanjang masa di sana.

Yang pasti, kami akan kembali kerana banyak lagi lokasi yang belum diteroka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top