Angkat kisah F & B

norhayati_nordin@hmetro.com.my

MENGANGKAT kisah kulinari, naskhah Teater Muzikal Tomyam Berdarah bakal dipentaskan tiga malam berturut-turut di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi bermula esok hingga 30 Ogos ini.

Dijayakan dua figura seni lakon dikenali iaitu Juhara Ayob, 55, dan Karl Shafek, 46, karya Teater Muzikal Tomyam Berdarah diterbitkan CTRA Production dan arahan oleh Aloeng Silalahi.

Penerbit, Siti Rohayah Atan berkata, dia teruja mempertaruhkan Teater Muzikal Tomyam Berdarah kepada penonton kerana kisah yang menarik berkaitan industri makanan dan minuman (F&B) tempatan.

“Tomyam pun antara makanan ‘familiar’ dalam masyarakat kita. Cuma, dalam naskhah ini mengisahkan Cef Rahman yang berusaha gigih membuat persiapan sertai pertandingan memasak.

“Namun, dia mengalami insiden tragis yang mana dapur bertukar jadi lokasi jenayah. Malah, setiap pekerja menjadi suspek kejadian dan timbul kekecohan,” katanya pada sidang media di Istana Budaya (IB), baru-baru ini.

Ditanya pemilihan Juhara dan Karl Shafek sebagai pelakon utama, Rohayah menjelaskan kedua-dua pelakon itu sudah biasa bekerja dalam teater terbitan CTRA Production dan tahu cara kerja mereka.

“Jadi, saya hubungi Juhara dan Karl Shafek dengan menawarkan watak kepada mereka yang saya nampak memang sesuai untuk masing-masing. Apapun, semoga Teater Muzikal Tomyam Berdarah dapat sambutan.

“Tujuan saya untuk semarakkan pementasan teater kita, termasuk membuka peluang pembabitan kepada pelajar-pelajar universiti berbakat dan berminat mahu turut serta,” katanya.

Jelas Siti Rohayah lagi, dia juga berbesar hati dapat bekerja dengan Aloeng Silalahi sebagai pengarah yang memang diketahui bakatnya selaku penggiat seni teater yang berkaliber.

Aloeng pula memberitahu, naskhah Teater Muzikal Tomyam Berdarah itu sudah empat kali dipentaskan dengan melalui beberapa evolusi persembahan sejak 2024 yang didapati menerima sambutan baik penonton.

“Sebelum ini, ia juga sudah dipentaskan pada persembahan penutup Anugerah Festival Teater UKM 2024 dan kemudian dibawa ke dalam konsep teater muzikal di Atra Semester Showcase 2025.

“Tidak hanya itu, naskhah Teater Muzikal Tomyam Berdarah juga pernah di pentas dalam versi hampir sama di Festival Teater Segara ASEAN di Universitas Indonesia pada tahun lalu,” katanya.

Ujar Aloeng, bagaimanapun untuk versi pementasan terbaharu Teater Muzikal Tomyam Berdarah akan dilakukan proses penambahbaikan dari segi lagu dan koreografi.

Pada pementasan nanti, Juhara membawa watak sebagai Bonda Roti dan Karl Shafek dengan karakter Cef Rahman. Manakala, tiket persembahan ditetapkan antara RM25 dan RM35 yang boleh dibeli secara dalam talian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top