lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lima kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, setakat jam 1 tengah hari, hari ini.
Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), tiga daripadanya membabitkan kawasan di Sarawak dengan bacaan tertinggi direkodkan di Samarahan (162), diikuti Serian (158) dan Sri Aman (156).
Di Lembah Klang, Cheras dan Johan Setia masing-masing merekodkan bacaan tidak sihat iaitu 145 dan 120.
Hanya Jerantut dan Temerloh, Pahang menunjukkan bacaan IPU yang sihat dengan merekodkan 49 dan 46.
Sebanyak 49 kawasan seluruh negara merekodkan bacaan sederhana antaranya Alor Setar, Shah Alam, Taiping, Nilai, Kuala Terengganu dan Larkin.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat), manakala IPU melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan bacaan daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai kualiti udara semasa menerusi saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar melalui pautan https://eqms.doe.gov.my/ atau MyJAS EQMS di Google Play dan App Store.
© New Straits Times Press (M) Bhd

