FUGŌ, Midnight Fusic kongsi pentas buat kali pertama menerusi Panggung Sandiwara

FUGŌ, Midnight Fusic kongsi pentas buat kali pertama menerusi Panggung Sandiwara
FUGŌ, Midnight Fusic kongsi pentas buat kali pertama menerusi Panggung Sandiwara

Panggung Sandiwara

PETALING JAYA: Dua kugiran tempatan, FUGŌ dan Midnight Fusic, bakal berkongsi pentas buat kali pertama menerusi konsert Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic di Odeon Kuala Lumpu, pada 17 Oktober depan.

Konsert anjuran Rockstation Event & Entertainment itu dijadualkan berlangsung pada pukul 8 malam, sekali gus menghimpunkan dua kumpulan dengan identiti muzik dan kelompok peminat tersendiri dalam sebuah persembahan ‘double-bill’.

Menurut vokal utama FUGŌ, Hakim Kamal, idea untuk mengadakan persembahan bersama itu mula dibincangkan sejak 2024 ketika kedua-dua kumpulan terlibat dalam acara yang sama di Pantai Timur.

“Nama konsert ini juga diilhamkan daripada tajuk lagu kedua-dua kumpulan yang berkongsi perkataan sama, iaitu ‘Sandiwara’.

“Dari segi muzik, kami akan memainkan lagu yang diminati peminat tetapi jarang dapat dipersembahkan dalam mana-mana persembahan disebabkan kekangan masa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, vokal utama Midnight Fusic, Arif Kamarudin berkata, pihaknya turut memberi perhatian terhadap konsep visual bagi memastikan konsert berkenaan meninggalkan pengalaman yang berbeza kepada penonton.

“Kami berusaha keras menghasilkan konsep visual yang memberi impak, bermula daripada bahan pra-pengumuman, promosi sehinggalah ke konsert itu sendiri.

“Kami sangat berterima kasih atas peluang yang diberikan Rockstation untuk merealisasikan perkara ini,” katanya.

FUGŌ yang ditubuhkan pada 2019 di Kuala Lumpur dianggotai Hakim Kamal (vokal utama, gitar dan flugelhorn), Kayrol Ami (bass dan vokal latar) serta Fai (kibod, synthesizer, sequence playback dan vokal latar). Kumpulan itu mula mendapat perhatian menerusi lagu Lagu Balad Kala Hujan dengan identiti muzik ‘Nu-Vintage’.

Sementara itu, Midnight Fusic yang ditubuhkan pada 2013 kini dianggotai Arif Kamarudin, Adrian Daniel dan Firdaus Azmi. Kumpulan berkenaan dikenali menerusi lagu seperti Caramel Cream, Time Machine, Under The Weather, Cahayaku Lovesick, Heart of May dan Lovesick.

Tiket berharga antara RM89 hingga RM189, manakala Exclusive Session ditawarkan pada harga RM150 termasuk sesi meet and greet dan akses eksklusif sebelum konsert.

Tiket Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic mula dijual pada 27 Ogos, pukul 10 pagi menerusi laman web rasmi konsert.

The post FUGŌ, Midnight Fusic kongsi pentas buat kali pertama menerusi Panggung Sandiwara appeared first on Utusan Malaysia.

Scroll to Top