11 ahli kongsi gelap ditahan berhubung pergaduhan di Taman Alam Megah

amalia.azmi@nst.com.my

Shah Alam: Polis menahan 11 individu yang dipercayai ahli dua kumpulan kongsi gelap berhubung pergaduhan di Taman Alam Megah yang menyebabkan seorang lelaki maut pada 25 Ogos lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, lima daripada suspek direman selama tujuh hari, manakala enam lagi akan dibawa ke mahkamah hari ini bagi permohonan reman.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berkaitan dengan perebutan kawasan antara dua kumpulan kongsi gelap yang beroperasi di Shah Alam.

“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti motif sebenar.

“Kesemua suspek berusia lingkungan 20-an dan 30-an. Kami telah mengambil keterangan daripada beberapa saksi bagi membantu siasatan.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, kami percaya ini adalah kumpulan yang baharu ditubuhkan.

“Kami masih menyiasat latar belakang mereka, termasuk mengenal pasti ketua kumpulan berkenaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, polis juga sedang mengesan saki-baki individu yang dipercayai terlibat dalam kumpulan kongsi gelap serta insiden tersebut.

Shazeli menambah, selain mangsa yang terkorban, beberapa individu lain turut cedera dengan tiga daripada mereka masih menerima rawatan di hospital.

Polis sebelum ini menahan seorang lelaki susulan pergaduhan beramai-ramai di Jalan Mandolin 33/5, Taman Alam Megah, yang mengakibatkan kematian seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, polis menerima makluman selepas seorang awam melaporkan insiden pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki.

Insiden itu tular selepas satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) daripada sebuah kenderaan berhampiran tempat kejadian tersebar secara dalam talian.

Dalam video berdurasi satu minit itu, sekumpulan individu dilihat meluru keluar daripada beberapa kenderaan sebelum menyerang seorang lelaki yang terbaring di atas jalan.

Sebuah kereta lain kemudian dilihat membuat pusingan U dan melanggar seorang individu sebelum beberapa orang lagi menyerangnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top